Parlimen: Kerajaan Komited Tangani Akaun Keldai – Azalina

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan komited untuk menangani akaun keldai yang menggunakan akaun bank syarikat.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata ia melalui pindaan yang dibuat kepada Kanun Keseksaan [Akta 574] memandangkan takrifan ‘orang’ termasuk juga syarikat ataupun mana-mana entiti korporat.

“Sekiranya bank akaun yang digunakan merupakan akaun yang didaftarkan oleh sebuah syarikat, berdasarkan seksyen 11 Kanun Keseksaan [Akta 574], perkataan “orang” telah ditafsirkan seperti yang berikut, Person includes any company or association or body of persons, whether incorporated or not.

“Selanjutnya, seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] pula mentafsirkan perkataan orang seperti yang berikut, person includes a body of persons, corporate or unincorporate.

“Sehubungan dengan itu, perkara yang dibangkitkan itu juga telahpun ditangani melalui pindaan yang dibuat kepada Kanun Keseksaan [Akta 574] memandangkan takrifan ‘orang’ termasuk juga syarikat ataupun mana-mana entiti korporat,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika ditanya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai persediaan kerajaan membuat pindaan undang-undang yang berkaitan untuk menangani sindiket scammer yang kini menumpukan penggunaan akaun syarikat sebagai akaun keldai.

Menurut beliau lagi, pindaan kepada Kanun Keseksaan [Akta 574] melalui seksyen 424A, 424B dan 424C juga antara lain telah memasukkan peruntukan baharu berkaitan kesalahan mana-mana orang yang membenarkan bank akaunnya digunakan oleh orang lain tanpa kuasa yang sah atau maksud yang sah bagi menangani isu akaun keldai.

“Usaha untuk membanteras jenayah penipuan dalam talian, Kerajaan telahpun mengambil langkah proaktif dengan membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bagi menangani kes jenayah siber khususnya mengenai kes penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai yang semakin meningkat,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.