Kita Bantu Sebaiknya… Perancangan Masa Depan Elak Banjir Turut Diambil Kira – Rozabil

ARAU, 14 Okt – Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan, UMNO setempat bersama dengan sukarelawan yang lain tampil membantu sedaya upaya bagi meringankan beban mangsa banjir yang terlibat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang juga Ketua UMNO Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata beberapa pendekatan jangka pendek telah diambil antara lain menghulurkan keperluan makanan dan sebagainya.

“Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan berkesempatan untuk menziarahi beberapa buah rumah yang terkesan akibat banjir di sekitar DUN Pauh bagi menyampaikan sedikit sumbangan.

“Kita simpati dengan musibah yang melanda dan berharap mereka yang ditimpa ujian ini bersabar dan kerjasama bersama pelbagai agensi yang terlibat akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan beberapa pendekatan jangka panjang turut diambil kira dan kerjasama dengan pihak berkaitan telah dilaksanakan.

“Saya dan rakan-rakan pimpinan UMNO Bahagian Arau yang lain telah membawa Encik Amir Budiman, Pengarah Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Negeri Perlis ke Kg. Titi Besi bagi meninjau keadaan kawasan tersebut yang kerap kali berlakunya banjir.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada Encik Amir dan pihak JPS di atas komitmen yang dinyatakan untuk menawarkan satu solusi jangka panjang kepada penduduk di sini bagi mengelakkan dan mengurangkan risiko banjir daripada berlaku lagi.

“Insya-Allah, kami akan terus menyuarakan kebimbangan rakyat dan memantau perkembangan inisiatif tersebut demi kesejahteraan keluarga Arau,” ujarnya. – UMNO Online

https://www.facebook.com/share/r/PTvfnV3GfopmpkcP/?mibextid=UalRPS

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.