Manfaatkan Teknologi Digital, Dekati Pelbagai Lapisan Masyarakat – Zulkifli Zainuddin

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Naib Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Zulkifli Zainuddin berpandangan penggunaan teknologi digital perlu dimanfaatkan dalam mendepani dinamika politik pada ketika ini.

Menurut beliau ia perlu dilaksanakan oleh keseluruhan jentera parti dan tidak hanya bergantung semata kepada peringkat Pusat dan bahagian.

“Dalam menghadapi fenomena dunia baru ni, digital Ini maka inilah yang nak tak nak terpaksa kita genggam.

“Tugasan bukan sekadar dilakukan Penerangan, Pusat mahupun bahagian tetapi juga merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dilakukan daripada sekecil-kecil ahli sehinggalah ke setinggi-tinggi kepimpinan.

“Maka itulah tanggungjawab kita untuk memberikan penerangan kepada rakyat di kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di Auditorium Menara Dato Onn, hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim; Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Datuk Shamsul Bahari Abdul Aiziz; Ketua Pemuda, Mohd Fitri Che Ree.

Tambah Zulkifli lagi, medium media sosial juga perlu dikuasai sebaiknya dalam usaha mendekati pelbagai lapisan umur rakyat bagi menyampaikan aspirasi parti kepada mereka dengan sebaiknya.

“Kita hanya sibuk di Facebook tetapi terlepas TikTok namun kini alhamdulillah kita dah mula faham dan sudah mula tahu kelemahan.

“Insya-Allah tapi yang penting saya hari ini, di samping kita berada dalam dunia digital kita tak boleh lari daripada komunikasi dengan orang di luar sana sama ada dengan akar umbi mahupun dengan rakyat-rakyat,” ujar beliau.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Titiwangsa merupakan bahagian ke-28 diadakan Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan bertujuan memantapkan lagi komunikasi dan penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.

Dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said ia diadakan dengan pelbagai pengisian dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.