Tolak MoU: Sikap Sebenar Pembangkang, Keikhlasan Dipertikai – Hilmi Elias

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias mempertikai sikap pembangkang yang tidak cakna terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Menurut beliau, tindakan pembangkang yang berdalih menolak MoU yang bersyarat itu mencetuskan tanda tanya mengenai keikhlasan mereka dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan kestabilan politik negara.

“Sebelum mendapat peruntukan pembangkang melaungkan kerajaan tidak adil dan mahu bajet khas kepada mereka. Selepas dipersetujui oleh pihak kerajaan mereka berdalih pula tidak mahu tandatangan MoU kerana ianya bersyarat.

“Sedangkan sebelum ketika ini pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri dan kerajaan bersama PN memberi peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tapi dengan bersyarat antaranya ialah demi memastikan kestabilan politik. Ia mampu meyakinkan pelabur luar dan dalam masa sama segala peruntukan tersebut digunakan sebaiknya untuk rakyat.

“Adakah mereka akan membangkang segala perkara dibawa oleh kerajaan walaupun ianya baik untuk negara? Di sini ianya akan jadi persoalan besar pada kita semua, dimana tahap kualiti ahli pembangkang yang ada di negara ini sekarang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tegasnya, kalau syarat-syarat seperti ini pun sukar dipenuhi, kemungkinan besar pembangkang pasti ada agenda disebalik ini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata penolakan MoU hanyalah permainan pembangkang tetapi hanya merugikan rakyat di kawasan masing-masing.

“Sebenarnya, keegoan pembangkang merugikan dan sanggup menyusahkan rakyat terutamanya di pengundi di kawasan masing-masing. Pengundi mengharapkan agar pembangkang dapat menyokong MoU seterusnya peruntukan tersebut dapat meringankan beban rakyat.

“Sepatutnya pembangkang perlu lebih matang dan bijaksana untuk sama-sama dengan kerajaan membentuk sebuah negara yang lebih maju dan bukannya menolak draf MoU mentah-mentah serta memberi alasan yang kukuh,” jelas beliau.

Sebelum ini dilaporkan PN sebulat suara menolak draf MoU itu dengan alasan bercanggah dengan Perlembagaan dan cadangan tersebut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Pimpinan Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan pihak PN menolak draf MoU walaupun belum menerima sebarang permintaan untuk mengadakan rundingan yang baharu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit