Lawatan Kerja: Rusia Setuju Bantu Malaysia Dalam Bidang Pembangunan Teknologi, Inovasi
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Rusia bersetuju untuk membantu Malaysia dalam bidang pembangunan teknologi dan inovasi berkaitan di samping memperbanyakkan lagi program pertukaran tenaga mahir antara kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Valery Falkov telah mempengerusikan Sidang Pleno pada Khamis.
“Selesai mesyuarat tertutup 3rd Meeting of the Joint Commission for Economic, Scientific, Technical and Cultural Cooperation (JCESTC), saya dan rakan sejawatan iaitu Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Valery Falkov telah mempengerusikan secara bersama Sidang Pleno di hadapan wakil dari negara masing-masing.
“Dalam Sidang Pleno ini, wakil kedua-dua negara telah membentangkan perihal kerjasama berkaitan antara Malaysia dan Rusia. Antaranya ialah perkara-perkara mengenai pendidikan tinggi, ekonomi dan pelaburan, perkembangan kerjasama institusi kedua-dua negara dan juga sektor pelancongan.
“Saya turut bersetuju dengan cadangan daripada Presiden Saint Petersburg Mining University untuk diadakan Dialog Mineral antara Rusia dan Malaysia. Insya-Allah ini akan diadakan pada tahun hadapan ketika Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk 4th Meeting of the JCESTC,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kedua-dua negara menghargai pembangunan modal insan dan komited untuk meningkatkan pelbagai program pertukaran pengetahuan dalam pendidikan.
“Kedua-dua negara menghargai pembangunan modal insan dan komited untuk meningkatkan peluang pelbagai program pertukaran pengetahuan dan kerjasama penyelidikan.
“Rusia juga bersetuju untuk membantu Malaysia dalam bidang pembangunan teknologi dan inovasi berkaitan serta memperbanyakkan lagi program pertukaran tenaga mahir antara kedua-dua negara.
“Tambahan pula, Malaysia akan menggalas tugas Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025 dan ini diharap dapat membentuk lebih banyak kerjasama baharu antara Malaysia-Rusia dalam pelbagai bidang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Federal Research Center, Kazan Scientific Center of the Russian Academy of Sciences ketika majlis tersebut.
“Antara tumpuan utama adalah lebih banyak kajian berimpak tinggi dapat dihasilkan dengan kerjasama antara universiti, politeknik kedua-dua negara dan seterusnya memberi faedah kepada hubungan Malaysia dan Rusia.
“Saya dan rakan sejawatan turut menyaksikan MoU bioteknologi antara Institut NIBM dan Federal Research Center, Kazan Scientific Center of the Russian Academy of Sciences yang akan menghubungkan lebih banyak kajian khusus bioteknologi terkini,” katanya lagi. – UMNO Online