Bajet 2025: Martabat TVET, Huffaz Depani Landskap Semasa Dan Cabaran Teknologi Baharu – Azhar

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pembentangan Bajet 2025 pada minggu hadapan sudah tentunya ditunggu-tunggu rakyat Malaysia, sebagai hala tuju kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad beliau melihat kepentingan pendidikan sebagai aset penting negara meliputi akademik, teknikal dan juga vokasional.

Menurut beliau, langkah kerajaan sebelum ini yang memperkenalkan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2030 pada Jun lalu memberikan petanda baharu dalam memperkasa bidang tersebut ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau kita tengok pendidikan akademik dan TVET ini juga harus diperhebatkan di bawah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

“Bagaimana suatu hari nanti, anak-anak kita yang kurang minat akademik tetapi sangat berjaya dalam bidang teknikal dan vokasional ini,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Kata beliau ia sekaligus memberikan masa hadapan yang lebih baik buat generasi muda yang berminat dalam bidang teknikal dan vokasional memperolehi pembelajaran mereka, seterusnya meluaskan peluang mereka menceburi industri tersebut.

Azhar yang juga Ahli Dewan Negara turut berkata ia dapat menjamin masa hadapan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda.

“Malah anak-anak yang tak berminat dalam akademik boleh melalui TVET tanpa ada kelulusan yang asas saja. Hanya ada 3M (membaca, menulis dan mengira) mereka boleh masuk ke GiatMARA.

“Selepas GiatMARA mereka boleh masuk ke Institut Kemahiran MARA (IKM) kemudian ke ijazah sarjana, ijazah dan ijazah kedoktoran, seterusnya mempunyai masa depan yang cerah, pendapatan yang lebih daripada kolar putih sebenarnya.

“Jadi memperkasakan TVET ini adalah maksudnya satu hari nanti rakyat mengurangkan pengangguran negara,” ujar beliau.

Seterusnya tambah Azhar, ini termasuk pembangunan huffaz yang dilaksanakan kerajaan bagi mengimbangi antara ilmu agama dengan kemahiran duniawi melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang telah memperkemas Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) dan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH).

Menurut beliau, idea yang dicetuskan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini berupaya memperkasakan generasi huffaz bagi memastikan golongan itu bukan saja berjaya dalam hafazan tetapi juga mampu bersaing dan menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat global.

Kata beliau lagi, ia sekaligus melahirkan modal insan yang seimbang dalam pelbagai aspek dalam membina generasi yang mampan.

“Semua ini untuk menjadikan modal insan, akhirnya menjadi rakyat yang kompeten, hebat, peka, kasih sayang kepada negara,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut sama menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menumpukan perhatian kepada isu tatakelola, bertujuan memastikan bantuan kepada golongan miskin di negara ini sampai kepada sasaran.

Katanya isu kemiskinan ini perlu dijadikan fokus kerajaan bagi memastikan keseluruhan rakyat mendapat perhatian, termasuk bantuan kepada golongan tersebut yang disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan terlibat.

“Maksudnya daripada segi ketirisan, tata kelola, rasuah dan sebagainya ini kalau boleh dihapuskan kerana melihat kepada keseluruhan rakyat Malaysia, kemiskinan mesti dilihat daripada sudut pemerintah, jangan dilihat daripada rakyat saja.

“Kenapa rakyat susah? Jadi akhirnya itulah tanggungjawab pemerintah bagaimana untuk mengeluarkan rakyatnya daripada kemiskinan. Agensi-agensi kerajaan yang tertentu RISDA, FELCRA, FELDA, UDA. Semua ini punya peranan-peranan yang tertentu untuk menotahkan kemiskinan rakyat.

“Jadi kerajaan tentunya di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pastinya mengurangkan ketirisan negara dan memastikan menotahkan kemiskinan ini, mesti dilihat juga daripada keberkesanan kerajaan hari ini.

“Kalau semua agensi-agensi kerajaan ini kalau kembali pada fungsi asal yang tidak bertindih dengan agensi-agensi lain, mana mungkin rakyat kita masih susah. Jadi agensi-agensi ini mesti memainkan peranan asal bagaimana untuk menotahkan kemiskinan rakyat di Malaysia ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit