50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China: Pelbagai Manfaat Dilaksana Jayakan Ikatan

KUNMING, 28 Sept – Presiden KIMMA, Datuk Syed Ibrahim Kader berpandangan pelbagai manfaat dapat dikongsi sepanjang lawatannya bersama delegasi Barisan Nasional (BN) ke negara China yang berakhir semalam.

Bagi beliau pelbagai program yang diatur membolehkan delegasi yang mengikuti program berkenaan melihat dengan lebih dekat bagaimana Negara China bukan sahaja membangun dengan pesat malah ke depan dalam pelbagai teknologi.

“Alhamdulillah, saya salah seorang yang terlibat dalam delegasi BN ke China atas jemputan, banyak program diatur dan kita bukan sahaja boleh bertukar pandangan malah melihat lebih dekat bagaimana China menjadi negara maju. Kita ambil yang baik untuk kepentingan bersama.

“Kita dapat lihat banyak juga input-input yang mereka bagi kepada kita, dan  kita bolehlah buatkan satu perbandingan berkenaan dengan teknik-teknik di sini, bahasa-bahasa atau agama dia macam mana… begitu juga dalam aspek pembangunan dengan teknologi yang tinggi  dan sebagainya lagi,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi sepertimana yang ditekankan sebelum ini kunjungan tersebut sudah pasti menambahkan lagi hubungan baik Malaysia-China.

“Kita boleh katakan juga ini akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kedatangan BN ke sini pada tahun ini sempena 50 tahun hubungan diplomatik dengan negara China. Ini juga antara segmen dalam menjayakan hubungan baik kedua-dua negara,” katanya.

Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, Barisan Nasional (BN) berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya Parti Komunis China (CPC)

Delegasi BN diketuai Ahli Majliis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.