Mohamad Alamin Seru Jentera BN Lipat Gandakan Usaha, Ajak Pengundi Tunai Tanggungjawab

KLUANG, 27 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohamad Alamin menyeru anggota jentera Barisan Nasional yang berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota agar melipat gandakan usaha bagi meraih sokongan pengundi dengan mereka keluar menunaikan tanggungjawab dan BN mencapai kemenangan.

Katanya yang juga Timbalan Menteri Luar, walaupun rata-rata pengundi memberikan reaksi positif terhadap calon BN namun usaha perlu diteruskan bagi menjejaki pengundi.

“Saya minta jentera di sini supaya melipatkan gandakan usaha untuk menjejaki seramai mungkin pengundi dan menyantuni sebanyak mungkin rumah-rumah di sini supaya mereka akan terus bersama-sama dengan kita menjelang hari pengundian 28 haribulan ini,” katanya kepada UMNO Online, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melakukan ziarah kasih di PDM Taman Kerjasama dalam kempen PRK DUN Mahkota yang akan berakhir tengah malam ini.

Beliau juga melahirkan keyakinan dengan gerak kerja para jentera akan membuahkan kejayaan dan kemenangan kepada BN.
“Alhamdulillah, melalui program ini saya mendapat reaksi dan juga ‘feedback’ dari para pengundi. Rata-rata mereka ini sebenarnya sudah buat keputusan, cuma ada yang masih berdiam. Jadi saya cukup yakin dan optimis, para pengundi di PDM Taman Kerjasama ini baik Melayu, baik yang Tionghua atau India yang saya dah jumpa tadi amat positif.

“Mereka juga bersama-sama dengan kita. Jadi saya cukup gembira dengan trend pengundi dan harap ia berterusan hingga kita mencapai kemenangan,” katanya.

Jelasnya, setiap kali menemui pengundi di DUN ini, beliau akan berpesan agar memilih calon nombor satu iaitu Syed Hussien Syed Abdullah bagi meneruskan kesinambungan pembangunan.

“Saya berpesan kepada ahli keluarga yang saya ziarah tadi supaya mereka pesan kepada anak-anak mereka untuk balik mengundi.

“Kepada semua para pengundi di Dun Mahkota ini, marilah bersama-sama, mari mengundi pada 28 September, sama-sama turun mengundi.

“Jangan lupa kita undi Syed Hussien, calon nombor satu untuk kesinambungan pembangunan dan pembelaan rakyat yang ada di Negeri Johor ini, khususnya DUN Mahkota, insya-Allah,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil kerajaan Perpaduan pada PRK itu, manakala Perikatan Nasional (PN) memilih Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.