Lonjakan Sokongan Terhadap Syed Hussien Semakin Bertambah, GOTV Cukup Penting

KLUANG, 26 Sept – Ketua UMNO Bahagian Papar Datuk Jamal Nerubi melihat lonjakan sokongan rakyat kepada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semakin bertambah.

Walaupun begitu, pesannya momentum tersebut tidak sepatutnya menimbulkan perasaan selesa kepada jentera dan semua perlu terus berusaha bagi memastikan kemenangan BN terutama mengeluarkan seramai mungkin pengundi (GOTV) ketika hari pengundian Sabtu ini.

“Ada satu lonjakan dari segi kesedaran dan sokongan kepada calon kita Syed Hussien. Walaupun kita melihat lonjakan sokongan semakin hari semakin bertambah tetapi itu tidak semestinya memberikan kita perasaan selesa.

“Gunakanlah masa berbaki kempen ini untuk mencari seramai mungkin pengundi-pengundi termasuk atas pagar dan juga kenal pasti pengundi luar dari Parlimen atau DUN untuk dibawa pulang.

“Yang lebih penting apabila masa mengundi nanti GOTV dan saya rasa jentera wanita, pemuda dan puteri sudah memahaminya dan pastikan mereka mesti turun mengundi awal,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui di Majlis Malam Jalinan Kasih Penduduk Taman Matahari di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah di sini, Rabu malam, yang turut dihadiri Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak serta Ketua UMNO Bahagian Langkawi Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 14 Sept, pengundian awal 24 Sept manakala hari pengundian pada Sabtu ini.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien, 40, sebagai calon.

Seterusnya ulas Jamal, selain faktor calon BN, agenda Maju Johor yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi juga menjadi faktor yang dilihat oleh rakyat.

“Selain daripada faktor Syed Hussien dan faktor yang sangat besar dan diterima oleh masyarakat sama ada orang Melayu, Cina dan India ialah Maju Johor.

“Orang Mahkota tidak boleh menolak agenda itu dan sepatutnya mereka mengambil bahagian untuk menerima segala pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Kerajaan Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

Justeru, Jamal yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Papar berharap kemenangan di DUN Mahkota ini dan terdahulu di Nenggiri akan memberikan satu semangat kepada ahli UMNO di Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Kita juga mengharapkan kemenangan di Mahkota dan sebelum ini di Nenggiri untuk memberikan satu semangat kepada orang-orang Sabah.

“Tempias kemenangan kedua-duanya akan dibawa ke dalam PRN Sabah yang akan berlaku mungkin hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

“Dan ahli UMNO nampaknya memerlukan kemenangan ini agar ‘mood’, momentum akan dibawa ke Sabah dan sudah tentu kita mengharapkan rakan-rakan kita di semenanjung untuk membantu,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit