PRK Mahkota: Perang Media Sosial Amat Penting Untuk Tarik Undi Anak Muda – Nur Syareeza

JOHOR BAHRU, 9 Sept – Perang media sosial amat penting untuk menarik undi anak muda terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor, Nur Syareeza Abdullah berkata, UMNO telah mengambil pengajaran daripada siri-siri pilihan raya lalu apabila pihak lawan menguasai sejumlah besar dari pengundi dengan menggunakan media sosial.

“UMNO semakin sedar tentang bahaya perang media sosial ini dan bagaimana untuk memanfaatkannya bagi menarik anak muda memberi kepercayaan kepada kita.

“Kalau kita lihat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, anak-anak muda tidak berpihak kepada kita kerana pihak lawan berjaya menguasai mereka melalui media sosial. Mereka dapat ‘pegang’ anak-anak muda ini.

“Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor sendiri melihat dan belajar daripada situasi ketika Pemilihan Presiden Indonesia dijalankan… bagaimana mereka menggunakan media sosial sehingga menang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara ‘Hitam Putih Kelabu’ yang diadakan sempena Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Negeri Johor, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, Pergerakan Puteri UMNO telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan pelbagai konten yang menarik untuk mendekati para pengundi di Mahkota.

“Kita telah lihat bagaimana Probowo menang besar pada Pemilihan Presiden Indonesia. Ini kerana mereka menggunakan lagu-lagu yang ‘cathcy’. Sebab itu kita katakan bahawa permainan media sosial ini berjaya menyumbang kemenangan Probowo.

“Ini terjadi selepas bertahun-tahun Jokowi memegang tampuk kepimpinan Presiden namun akhirnya kalah kerana Probowo memanfaatkan platform media sosial sebaiknya.

“Untuk jentera PRK DUN Mahkota, kita nak tarik undi anak-anak muda khususnya yang berumur 40 tahun ke bawah. Platform TikTok ibarat menjadi makanan harian dan kita memperbanyakkan lagi wanita-wanita muda menghasilkan konten untuk mendekati pengundi di DUN Mahkota itu sendiri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa gerak kerja media sosial untuk menghadapi PRK DUN Mahkota ini telah dijalankan bermula Ogos lalu.

“Sebenarnya gerak kerja untuk media sosial ini telah dijalankan sejak Ogos lalu. Perkara ini juga didorong dengan kemenangan Azmawie pada PRK Nenggiri lalu. Kita mahukan ‘wave’ yang sama daripada anak-anak muda di Mahkota.

“Di samping itu, kita ini adalah legasi seterusnya yang akan memenangkan calon dipertaruhkan. Kita juga ada menggunakan pempengaruh tempatan supaya para pengikut mengetahui apa yang UMNO/Barisan Nasional (BN) dah laksanakan di DUN Mahkota sepanjang dua tahun ini,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit