PRK Mahkota: Laksana Gerak Kerja Terbaik, Manfaatkan Kempen Digital – Azalina

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap kesemua jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk melaksanakan gerak kerja terbaik bagi mengekalkan kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kemenangan tersebut penting seiring dengan momentum positif diperoleh UMNO/BN pada PRK Nenggiri baru-baru ini.

“Kesempatan berada di Kluang saya manfaatkan untuk bertemu dengan jentera BN Kluang khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham bagi meninjau gerak kerja dan susun atur program dalam menghadapi PRK DUN Mahkota yang bakal diadakan pada 28 September ini susulan kembalinya ke rahmatullah ADUN Mahkota baru-baru ini.

“Saya berpesan agar semua jentera berusaha sehabis baik bagi memenangkan calon BN yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan dalam PRK ini dengan mengekalkan momentum positif kemenangan kita di DUN Nenggiri bulan lalu,” katanya.

Azalina berkata demikian menerusi hantaran di Facebook yang berkongsi lawatan beliau ke PDM Taman Ilham, Kluang.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) menyeru agar dimanfaatkan platform media sosial secara menyeluruh dalam menyampaikan aspirasi calon dan parti pada kempen PRK tersebut.

“Saya menyeru semua ahli untuk memanfaatkan media sosial sebagai platform kempen dengan lebih aktif dan turut berkongsi beberapa strategi berkesan berhubung kempen digital,” ujar beliau.

Dalam perkongsian sama pada hantaran video, Azalina berkata kemajuan pesat di Johor menuntut rakyat negeri ini matang dalam memilih wakil rakyat yang mampu berkhidmat kepada mereka.

Beliau berkaata PRK ini perlu dimanfaatkan bagi mengekalkan wakil rakyat daripada UMNO/BN untuk memastikan rakyat di kawasan ini mendapat kebaikan daripada kemajuan dicapai negeri.

“Johor akan menaiki taraf ekonomi dengan begitu laju dan padat. Masalah yang paling besar ialah, lepas hari buang undi 28-29 September, siapa yang nak selesaikan masalah orang di sini.

“Kita bertanding ini ialah untuk memberi khidmat kepada rakyat. Itu orang panggil kita Yang Berhormat bukan kita bertanding untuk diri kita.

“Tak kisah lelaki atau perempuan ke asalkan UMNO/BN dan kalau boleh, biarlah orang daripada UMNO Bahagian Kluang,” ujar beliau.

Azalina dalam pada itu berbesar hati menziarahi ke rumah penyandang ADUN Mahkota, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain bagi menyantuni ahli keluarga serta bertanya khabar.

Beliau turut meluahkan dukacita di samping mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan bersama orang yang solehah.

Susulan kekosongan tersebut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.