31 Ogos… Hargai Sejarah UMNO Perjuangkan Kemerdekaan – Nuraini

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Ogos merupakan bulan yang tepat untuk seluruh ahli dan akar umbi menginsafi kembali sejarah perjuangan UMNO bagi mendapatkan kemerdekaan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Nuraini Yusoff berkata, ucapan dasar Presiden ketika Perhimpunan Agung (PAU) 2024 lalu ada menyentuh mengenai sejarah perjuangan parti yang ditubuhkan sebelum kemerdekaan ini.

“Dalam ucapan dasar Presiden turut menyentuh mengenai sejarah perjuangan UMNO… bagaimana UMNO ini ditubuhkan terlebih dahulu sebelum kemerdekaan Malaysia ini dicapai. Betapa panjangnya sejarah perjuangan UMNO dalam memperjuangkan kemerdekaan Malaysia.

“Ini adalah bulan tepat untuk kita menginsafi kembali sejarah perjuangan yang panjang oleh para pemimpin yang terdahulu dan mudah-mudahan dalam bulan kemerdekaan ini dapat dijalankan aktiviti-aktiviti dan program-program berkaitan.

“Inilah masanya untuk kita berkongsi atau menceritakan kembali sejarah perjuangan UMNO kepada generasi muda yang mungkin tidak pernah mendengar sejarah perjuangan UMNO dalam memperoleh kemerdekaan, membangunkan negara dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau berharap agar para pemimpin, ahli dan akar umbi menjadikan bulan kemerdekaan ini sebagai satu asbab untuk kembali bersatu padu serta mengenepikan sebarang perbezaan.

“Ogos sudah semestinya menjadi satu bulan yang istimewa terutamanya kepada ahli-ahli UMNO, para pemimpin dan pejuang dalam parti UMNO itu sendiri, mengenangkan panjangnya sejarah parti ini serta bagaimana para pemimpin terdahulu merintis jalan untuk membangunkan anak bangsa dan negara.

“Harapan saya supaya dalam bulan bersejarah dan istimewa ini dijadikan satu sebab, untuk kita bersatu padu, mengenepikan sebarang perbezaan terutamanya selepas ini kita nak menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, Johor pula.

“Sudah semestinya selepas PAU yang telah dijalankan dalam bulan Ogos, kita sudah mendengar amanat Presiden dan sebagainya. Kita lihat ucapan dasar Presiden itu sendiri sangat lengkap, fokus dan dengan mesej yang cukup jelas,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan bulan kemerdekaan ini dijadikan peluang oleh para pemimpin dan akar umbi untuk merapatkan saf bagi menguatkan semula parti.

“Inilah masanya untuk kita gunakan ruang dan peluang yang ada di dalam bulan Ogos dan kemerdekaan untuk kita imbau kembali sejarah perjuangan sambil tautkan silaturahim sesama ahli parti, masyarakat dan di dalam komuniti. Mudah-mudahan UMNO akan kembali bangkit, meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat.

“UMNO adalah sebuah parti yang telah terbukti berjaya membangunkan Malaysia selama lebih 60 tahun. Kita lihat pemimpin UMNO sentiasa komited dalam merancang dan juga menjalankan dasar-dasar yang baik kepada rakyat.

“Mudah-mudahan bulan Ogos ini dijadikan satu peluang untuk kita kuatkan parti dan Insya-Allah kita kembali lebih kuat untuk menerajui Malaysia satu hari nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.