Sumbangan Ahmad Zahid Jatuhkan Kerajaan PH 1.0 Adalah Benar – Mohd Puad
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi beranggapan bahawa sumbangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 adalah benar.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menidakkan kenyataan Ahmad Zahid dengan mengatakan beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri atas kerelaannya sendiri.
“Tun Mahathir kata dia letak jawatan (sebagai Perdana Menteri) atas kerelaannya. Bukan kerana Ahmad Zahid. Beliau berbuat demikian kerana PPBM tidak mahu mendengar nasihatnya.
“Itu betul. Nasihatnya tidak lagi laku. Usaha terakhir untuk jadi Perdana Menteri interim bukti dia tidak mahu lepas jawatan. Itu pun gagal. Terpaksalah dia letak jawatan.
“Ketika itu PKR dan Dap mahu Tun Mahathir kekal. Beliau tubuhkan parti Pejuang untuk kembali jadi Perdana Menteri. Tetapi ‘times over’,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa segala usaha Tun Mahathir gagal kerana UMNO masih hidup dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menjadi Perdana Menteri pada akhirnya.
“Segala-galanya gagal. UMNO tidak mati. Anwar dapat juga jadi Perdana Menteri dan anaknya, Datuk Mukhriz tersisih. Tun Mahathir hanya berjaya memenjarakan Datuk Seri Najib.
“Oleh itu sumbangan Ahmad Zahid jatuhkan kerajaan 22 bulan Tun Mahathir adalah benar. Sumbangan Ahmad Zahid jatuhkan kerajaan 17 bulan Tan Sri Muhyiddin juga benar… dan sumbangan Ahmad Zahid, UMNO berkongsi kuasa hari ini juga benar.
“Tun Mahathir tidak suka mengalah. Kali ini beliau kalah. UMNO masih ada tempat berbakti kepada rakyat. Berehatlah Tun. Jasamu tetap dikenang,” katanya lagi.
Pada Sabtu UMNO Online melaporkan Ahmad Zahid mendedahkan beliau sebagai perancang utama menjatuhkan Perdana Menteri Ke-7, Tun Mahathir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.
Ini kerana katanya ekoran Tun Mahathir yang ketika itu juga sebagai Pengerusi PPBM telah bertindak mahu mengharamkan UMNO dan pelbagai tindakan dibuat untuk menghina UMNO. – UMNO Online