Pidato Piala Datuk Nurul Amal Kembangkan Bakat Wanita Muda Ke Pentas Parti – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyambut baik pendekatan Pergerakan Puteri UMNO yang melaksanakan Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal 2024.

Beliau berkata ia sebagai platform bagi mengasah bakat mereka dalam melahirkan pemidato berkualiti yang boleh diketengahkan ke pentas lebih tinggi dalam parti.

“Mereka juga perlu membuat sedikit kajian mengenai peranan UMNO dalam memerdekakan negara dan peranan UMNO dalam mengisi kemerdekaan UMNO.

“Pidato ini bukan hanya untuk mengasah bakat tetapi juga kemahiran untuk mencari idea, tajuknya kemerdekaan jangan lupa bagaimana UMNO mengisi kemerdekaan.

“Bukan hanya UMNO berjuang untuk memerdekakan negara dari tahun 1946 kemudian 1957 kita merdeka. Apa yang lebih penting adalah bagaimana UMNO mengisi kemerdekaan negara,” katanya bagi mengulas lanjut tema pidato ‘UMNO dan Kemerdekaan’.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian selepas ditemui merasmikan pertandingan pidato tersebut yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal 2024 yang berlangsung pada ketika ini menerima penyertaan yang memberangsangkan daripada kelompok wanita muda.

Rata-rata daripada peserta yang ditemui meluahkan keterujaan mereka dan turut sama mengenakan pakaian tradisional dan kebangsaan mengikut tema pidato tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.