Hadir Kerana Penuhi Jemputan, Tanda Sokong Kerajaan Perpaduan – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 7 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menolak dakwaan kehadiran beliau bersama rombongan BN Sabah ke Himpunan Perdana Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat di Dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad sebagai petunjuk kerjasama BN bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Sabah, kehadiran beliau bersama rombongan hanya sekadar memenuhi undangan Kerajaan Perpaduan.

“Jangan buat spekulasi, bukan petanda atau ‘hint’ kerjasama, kita hadir atas jemputan sebagai satu kekuatan Kerajaan Perpaduan walaupun di Sabah BN dinafikan kehadirannya dalam Kerajaan Perpaduan,” jelas beliau ketika ditemui di pekarangan SICC pada Ahad.

Majlis yang dihadiri dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Nor.

Turut bersama hadir dalam rombongan BN termasuklah Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said dan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurut Bung soal kerjasama untuk menghadapi PRN mungkin dalam platfrom lain dengan perbincangan lebih khusus bersama parti-parti lain yang berminat untuk menjalin kerjasama atau bergabung dengan BN/UMNO bagi menghadapi PRN akan datang.

Justeru katanya, kehadiran rombongan BN ke majlis tersebut tiada kaitan sebagai petunjuk untuk BN bekerjasama menghadapi PRN.

Dalam pada itu Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di majlis tersebut terutama yang menyentuh soal tuntutan MA63.

Beliau berkata teguran Perdana Menteri mengenai beberapa sentimen dalam isu perbelanjaan RM16 bilion terutamanya dari kalangan pemimpin PGRS perlu dihentikan kerana kerajaan pusat telah berusaha melakukan penambahbaikan kepada tuntutan yang dibuat sebelum ini.

“Macam-macam kenyataan, sentimen dan tomahan yang dikeluarkan di media oleh beberapa pemimpin-pemimpin PGRS tentang isu M63, sehingga melibatkan soal parti dengan mengeluarkan sentimen anti ‘Parti Malaya’ sedangkan sebahagian dari pendukung kerajaan GRS hari ini juga ada parti-parti yang berasal dari Malaya seperti PKR dan Dap,” katanya.

Bung berkata sentimen anti parti Malaya ini cuba mereka kaitkan dengan tuntutan MA63 demi memperkukuhkan kedudukan politik bagi menghadapi PRN akan datang dengan mengajak rakyat Sabah menolak parti berasal dari Malaya.

“Perlu diingat berkaitan tuntutan perkara MA63, saya sebagai ahli Parlimen turut menyuarakan di Dewan Rakyat jadi jangan anggap mereka sahaja memperjuangkannya sehingga menimbulkan pelbagai sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.