Dr Asyraf Laung Semangat UMNO Bangkit Kembali, Terapkan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’

KULAI, 4 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melaungkan semangat perjuangan kepada anggota akar umbi dengan tekad untuk bangkit kembali bagi mendepani masa hadapan dalam politik negara.

Katanya, UMNO mampu bangkit semula dengan syarat anggota parti kembali kepada asas dan akar perjuangan iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

“Anggota parti perlu bersatu iaitu jangan bergaduh sesama sendiri kerana ia adalah asas kekuatan parti.

“Jangan putus asa, jangan putus harapan berdepan dugaan kerana kita akan diberikan kembali kemenangan dengan syarat kembali kepada akar perjuangan. UMNO adalah parti perjuangan, membela orang Melayu dan membela agama Islam sejak dulu, kini dan selamanya tetapi kerana pergaduhan, perbalahan dan berantakan sesama kita maka kita hilang kuasa.

“Kita boleh menang kalau kita berjanji untuk setia.Kita berjanji bersetia bahawa kita akan pertahankan perjuangan ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MARA berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kulai, malam tadi. Bahagian tersebut diketuai oleh Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai merangkap Exco Kerajaan Negeri Johor.

Terang Dr Asyraf, pelbagai dugaan dan cabaran telah dilalui oleh parti sejak penubuhannya hingga ke hari ini namun dugaan ini menjadi proses lebih memperkuatkan UMNO.

“UMNO terus diuji dengan ujian yang besar. Kalau Allah uji maknanya Allah sayang. UMNO bukan lahir di jalanan atau dari sifat hasad dengki, kekecewaan, amarah atau dendam tapi dari rahim perjuangan.

“Sebab itu ujian yang dihadapi daripada dulu sehingga kini adalah sebahagian dari proses kerana Allah sangat menyayangi kita dengan syarat iaitu kita lalui dengan penuh keinsafan, muhasabah, dan kita pertingkatkan kualiti kehidupan dan perjuangan kita.”

Dalam masa yang sama beliau menghargai keupayaan anggota akar umbi yang setia teguh bersama dalam perjuangan UMNO.

“UMNO di akar umbi adalah pendukung parti. Kepimpinan yang ada pada hari ini adalah kerana sokongan dan dukungan dari bawah iaitu kerana kecekalan dan kesetiaan anggota akar umbi maka bahtera UMNO kekal belayar.

“Atas nama perjuangan kita saling tampung menampung bagi meneruskan perjalanan. Kekuatan UMNO adalah kekuatan kita dalam satu jemaah. Itulah yg menyebabkan UMNO terus kuat dan perkasa.”

Jelasnya, itulah sebenarnya UMNO yang didukung oleh kekuatan daripada kebersamaan dalam perjuangan daripada kepimpinan atas hinggalah kepada anggota parti di akar umbi.

“Kebersamaan UMNO ini terbukti di Kulai apabila Timbalan Ketua UMNO Bahagian dahulunya adalah ketua UMNO Bahagian tetapi memberi laluan kepada orang muda namun masih sanggup terus bersama mendukung parti kerana tahu bahawa kekuatan UMNO adalah kekuatan kita dalam satu jemaah.”

Justeru Dr Asyraf yakin bahawa UMNO akan kembali dominan pada masa akan datang kerana katanya ‘ada cahaya di hujung terowong’.

“Kita kena bangkit semula. Kita dah nampak cahaya di depan ada, dan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kita boleh jadi kembali kuat jika kita terus bersatu,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.