Komitmen UMNO/BN Dalam Kerajaan Perpaduan Diberi Perhatian, Dihargai

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Komitmen UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam memperkasakan pendidikan, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kesaksamaan sosial dalam Kerajaan Perpaduan seharusnya diberi perhatian serta dihargai.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, meskipun resolusi telah diangkat sebagai dasar dibawa ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menjadi perhimpunan terbesar orang Melayu, hak-hak kaum lain juga tidak diabaikan.

“Walaupun resolusi-resolusi ini dibawa dalam perhimpunan terbesar orang Melayu, hak-hak kaum lain juga tidak diabaikan. Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai contoh, terbuka kepada semua rakyat Malaysia termasuk Cina, India, Iban dan lain-lain.

“Inisiatif ini menunjukkan bahawa UMNO mengambil kira kepentingan semua kaum dalam negara dan berusaha untuk memastikan bahawa setiap individu mempunyai akses kepada peluang pendidikan serta latihan yang berkualiti.

“Ini adalah bukti bahawa UMNO bukan sahaja membela hak-hak orang Melayu tetapi juga berusaha untuk keadilan sosial dan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa kejayaan UMNO mengangkat resolusi PAU sebagai dasar menunjukkan usaha gigih parti itu dalam memastikan nasib rakyat sentiasa dibela.

“Komitmen UMNO untuk memperkasakan pendidikan, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kesaksamaan sosial menunjukkan bahawa parti tersebut berusaha mewarnai landskap politik Malaysia walaupun dengan kekuatan sedia ada.

“Pelaksanakan resolusi-resolusi PAU sebagai dasar negara memperlihatkan komitmen UMNO walaupun tidak mengemudi kerajaan secara solo.

“Dalam konteks ini khususnya pada pelaksanaan dasar-dasar tersebut, wajar usaha ini terus diberikan perhatian dan dihargai,” katanya lagi.

Pada PAU 2023 yang berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun pada tahun lalu telah dibentangkan resolusi untuk memperkasakan sektor TVET, mewujudkan dasar tahfiz negara, dan menjaga kebajikan pekerja gig.

Resolusi tersebut telah dibentangkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar dan ia disokong sebulat suara oleh para perwakilan.

Beliau yang juga memegang peranan selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam kabinet Kerajaan Perpaduan telah berjaya melaksanakan segala resolusi dibentangkan dan diangkat sebagai dasar negara.

Pada 11 Mac 2023, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia telah diselaraskan dengan pihak kerajaan setiap negeri.

Selain itu, Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bakal ditubuhkan dalam tempoh dua bulan lagi dan diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Cadangan penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu bermula dari peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja hinggalah pengguna. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.