Strategi ‘Baik Punya Cilok’ Pas Demi Survival Politik – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan Pas dalam strategi ‘baik punya cilok’ dengan mencipta naratif baharu demi survival politik mereka.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu itu, ia sebagai membuka pintu pilihan politik untuk menjadi kerajaan semula.

“Kenyataan yang ‘mungkin’ hanya disengajakan atau direka agar pemimpin dan ahli bagi kedua-dua parti untuk ‘membeli’ dan termakan dengan nararif yang sedang dicipta.

“Jangan lupa sebelum ini juga ada yang mengatakan Pas turut mengadakan pertemuan ‘secara tidak rasmi’ atau santai bersama PMX yang mewakili PKR.

“Ini juga pilihan politik yang Pas buka untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respon dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari berhubung adanya perjumpaan beberapa kali dilakukan ‘secara tidak rasmi’ dalam kalangan pemimpin UMNO dan Pas untuk membincang kerjasama politik bagi menghadapi PRU16.

Bagaimanapun perkara tersebut telah dinafikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Gulam, dengan kata lain Pas tanpa segan silu mengadakan perbincangan dengan UMNO dan PKR walaupun bukan secara rasmi kerana bagi Pas mereka hendak ‘menjual’ dan mahu melihat sama ada ada orang ingin ‘membeli’.

Namun kata beliau lagi, isu ini dilihat memberi impak positif buat UMNO kerana PPBM pasti tidak senang duduk dengan cara Pas berpolitik dan menjangkakan mereka bakal ditinggalkan dan Pas mungkin tuntut talak untuk dan demi survival parti mereka.

“Pas bukan bodoh, begitu berstrategi dan amat tahu bahawasanya PPBM bukan parti akar umbi, ada banyak dan penuh masalah dalaman, tiada kredibiliti memimpin dan secara tidak langsung mengiktiraf PPBM tidak mampu mengantikan UMNO sebagai pilihan bagi masyarakat Melayu.

“ ‘Strategi baik punya cilok’ oleh Pas ini amat berkesan bagi mereka, cuba kita imbas kembali sebelum PRU15 bila mana mereka mengkhianati UMNO untuk bekerjasama tetapi mereka lebih memilih bersama Bersatu untuk kepentingan dan kelangsungan politik mereka.

“Mereka amat berjaya dan terbukti dengan menambah kerusi parlimen hampir tiga kali ganda dari sebelumnya.

“Apa formula kejayaan mereka iaitu membuka pintu-pintu pilihan politik. Bagi saya UMNO juga perlu bersikap demikian. Bak kata lain suspect everybody, trust no body dalam konteks survival parti,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.