Presiden Rasmi Pejabat Baharu UMNO Kinabatangan, Suntikan Semangat Perkasa Parti – Bung Moktar

SANDAKAN, 24 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diberikan penghormatan merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Kinabatangan yang terletak di bandar Fajar, Jalan Leila kira kira satu kilometer dari bandar Sandakan.

Ahmad Zahid yang seterusnya merasmikan Himpunan dan Konvensyen Barisan Nasional (BN) pada Ahad telah meluangkan masa merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Kinabatangan ini.

Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua UMNO Sabah menzahir ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Zahid yang sudi menyempurnakan majlis perasmian itu.

Katanya kehadiran serta kesediaan Ahmad Zahid merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Kinabatangan telah memberikan suntikan semangat kepada ahli-ahli UMNO bahagian itu.

“Malah ia turut memberikan anjakan paradigma kepada seluruh anggota UMNO di negeri ini untuk terus berjuang memperkasakan parti,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Pejabat baharu UMNO Bahagian Kinabatangan setinggi tiga tingkat itu menempatkan pejabat pentadbiran yang diketuai oleh Setiausaha UMNO bahagian di tingkat satu.

Sementara di tingkat dua menempatkan pejabat Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian manakala di tingkat tiga pula menempatkan bilik mesyuarat.

Bangunan baharu ini telah pun digunakan sepenuhnya pada tahun lepas setelah berpindah dari pejabat lama yang terletak di Bandar Nam Tung Sandakan.

Selepas merasmikan pejabat baharu ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengambil kesempatan untuk mengadakan perjumpaan tertutup bersama pemimpin-pemimpin BN Sabah. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.