Contohi Semangat Cintakan Parti, Jati Diri Presiden Dalam Mempertahankan UMNO – Ashari
MUAR, 24 Julai – Ahli UMNO diseru mengambil semangat cintakan parti melebihi kepentingan peribadi sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditekan agar UMNO dibubarkan.
Ujar Ketua UMNO Bahagian Muar Datuk Ashari Md Sarip, Ahmad Zahid pada ketika ditekan oleh Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad tetap tidak berganjak dan mempunyai jati diri yang tinggi dalam mempertahankan UMNO.
“Presidenlah orang yang mempertahankan UMNO daripada dibubarkan. Inilah kekuatan kami apabila Presiden mempunyai jati diri walaupun tahu akibat akan berlaku untuk mempertahankan UMNO. Sehingga hari ini kita masih kekal, parti yang masih lagi relevan.
“Saya percaya waktu Yang Amat Berhormat Datuk Seri diminta untuk membubarkan UMNO, yang terpandang hanyalah wajah-wajah ahli UMNO… apa yang berlaku, itulah harga di atas jati diri Presiden.
“Akibat tak nak bubar, kes naik… fail naik.. kita faham, tahu, tapi hari ini Alhamdulillah kuasa Allah SWT tetap memihak kepada kebenaran. Kita berdoa semoga Presiden dipanjangkan umur dan terus menerajui UMNO,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di Dewan Tun Ninam Shah di sini, baru-baru ini.
Mesyuarat UMNO Bahagian itu dirasmikan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas Ahli Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim dan wakil Penyelaras Badan Perhubungan UMNO negeri daripada UMNO Bahagian Pagoh.
Untuk rekod, akibat keengganan Ahmad Zahid menurut kemahuan Mahathir yang ketika itu juga Pengerusi PPBM, beliau dikenakan pendakwaan terpilih di mahkamah dan akhirnya dibebaskan daripada 40 pertuduhan serta dilepas tanpa dibebaskan bagi 47 lagi pertuduhan.
Seterusnya dalam ucapannya juga, Ashari berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) Muar bertekad akan merampas kembali kerusi Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani yang sebelum ini terlepas ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Pada PRU yang lepas kita kalah dua kerusi, di DUN Maharani dan Parlimen. Menang satu kerusi di DUN Sungai Balang. 2-1. Pada PRU akan datang kita mahu menang ketiga-tiganya.
“Tidak penting siapa calonnya, yang penting produknya mesti UMNO Bahagian Muar. Saya nak kerusi Parlimen Muar diberikan kepada UMNO/Barisan Nasional, kerana kita pernah menang bergaya semasa Datuk Razali dengan menang besar.
“Saya mohon pertahankanlah kerusi ini untuk UMNO Bahagian Muar. Dalam isu calon saya tiada masalah berlapang dada… apa yang penting mesti produk keluaran UMNO Muar dan calonnya perlu dibuat kajian lapangan secara terperinci, jangan main tangkap muat, ikut permintaan rakyat dan masyarakat daripada bahagian Muar,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ashari juga memohon kerajaan agar dapat diwujudkan satu pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Muar seperti mana di Pagoh yang mempunyai hub pendidikan manakala di Bakri dengan hub perabot. – UMNO ONLINE