UMNO Bukit Bintang Struktur Gerak Kerja, Jadi Hub Pengundi Luar Untuk Parlimen Tumpuan

KUALA LUMPUR, 23 Julai – UMNO Bukit Bintang telah melaksana penstrukturan gerak kerja politik yang bakal meletakkan bahagian terbabit sebagai hub untuk pengundi luar bagi parlimen tumpuan.

Ketuanya, Datuk Tengku Azman Zainol Abidin berkata cadangan program penstrukturan gerak kerja ini telah diangkat ke Perhubungan UMNO Negeri dan ke UMNO Pusat serta akan mula dilakukan percubaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang akan berlangsung awal bulan hadapan.

“Parlimen tumpuan ini adalah kawasan-kawasan yang bakal ditandingi UMNO/Barisan Nasional (BN) dan mempunyai peluang untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

“Ini adalah kerana keputusan pilihan raya rata-rata menunjukkan bahawa kemerosotan undi banyak berpunca dari pengundi-pengundi luar kawasan.

“Untuk menjayakan program sebegini ianya harus dilakukan sekarang dan bukan nak dilakukan apabila nak dekat pilihan raya dan gerak kerja untuk menjayakannya kita perlukan ruang kerja yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan kepada perwakilannya semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang yang berlangsung Ahad di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL).

Jelas Tengku Azman, bagi melaksanakan program gerak kerja ini jalinan kerjasama antara Tunku Abdul Rahman Business Center (TARBIZ) dengan UMNO Bukit Bintang telah dilaksana.

“TARBIZ yang berada di tingkat tiga Bangunan UMNO lama adalah syarikat yang menyediakan ruang kerja dan studio secara kongsi yang jika UMNO tidak menggunakannya maka ianya akan disewa pihak ketiga.

“Dengan adanya TARBIZ, pelbagai aktiviti dapat dijalankan malah sudah tiba masanya untuk kita bergerak proaktif untuk pengisian program di sini.”

Katanya, tugas ini bukan tanggungjawab peribadi tetapi dilakukan sebagai ahli UMNO secara kolektif iaitu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memastikan perjuangan terus bersemarak.

Dalam masa yang sama, Tengku Azman juga memaklumkan bahawa UMNO Bukit Bintang mengusulkan pewartaan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai zon khas ekonomi kebudayaan, kesenian dan warisan Bumiputera.

“Apa yang kurang di kawasan Bukit Bintang? Imej apakah yang sering ditonjolkan di Bukit Bintang? Dimana imej Melayu? Kita ada Little India, Kita ada China Town malahan Arab Park.

“Justeru bersama ahli jawatan kuasa bahagian, kita telah analisa bahawa Jalan Tuanku Abdul Rahman yang popular dikalangan orang Melayu haruslah dipelihara dan diangkat martabatnya.

“Hari ini kita telah bersetuju untuk diangkat sebagai usul mewartakan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai zon khas ekonomi kebudayaan, kesenian dan warisan Bumiputera.”

Katanya, usaha ini amat bermakna dalam melaksana gerak kerja untuk memastikan bangsa Melayu/Bumiputera tidak hilang di bumi sendiri.

“Di samping itu UMNO Bukit Bintang juga akan memperjuangkan agar diadakan tempat ibadah tambahan, setidak-tidaknya surau Jumaat di kawasan ini dan kita akan mengkaji kemungkinan untuk memperjuangkan satu lagi tempat ibadah di Brickfields.

“Syiar Islam perlu terus dilaksana serta dihayati mengikut al-quran dan as-sunnah; bukan untuk ditunggang,” katanya lagi.

Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.