Ubah Budaya Politik Sabah, Kalau Ikhlas Bawa Perjuangan Tidak Perlu Lompat Parti – Johari

SANDAKAN, 23 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap rakyat Sabah dapat memilih pemimpin yang tidak melompat parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Beliau yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) sebaliknya berkata mereka perlu untuk memilih pemimpin yang mempunyai jati diri dan ikhlas bagi membawa perjuangan membela nasib rakyat.

“Pastikan pilihan raya yang akan datang mereka yang melompat sini jangan dipilih sebagai pemimpin. Apabila kita ada pemimpin yang mempunyai jati diri, ikhlas dalam perjuangan dia tidak perlu melompat.

“Sama ada parti itu kuat atau lemah dia tetap meneruskan perjuangan kerana banyak contoh-contoh yang kita lihat kuat tak semesti kuat selalu, menang tak semestinya menang selalu dan kalah tak semestinya kalah selalu… yang penting kita mesti meneruskan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin BN sabah yang hebat-hebat.

“Di Sabah ini kalau mahu untuk membina pembangunan mesti tukar budaya politik. Kalau kita boleh tukar budaya politik, jangan lompat-lompat saya rasa kita akan dapat Sabah yang akan datang ini lebih hebat daripada mana-mana negeri daripada semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50 yang diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua, pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kepimpinan lain.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dalam pada itu berkata BN merupakan parti yang mewakili masyarakat majmuk, sekaligus membuktikan kerjasama dalam kepelbagaian kaum dalam membawa suara rakyat yang pelbagai.

Katanya lagi, dalam kepelbagaian tersebut namun terasnya tetap sama dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di kawasan yang diwakili.

“BN ini adalah sebuah parti yang mewakili masyarakat majmuk walaupun UMNO menjadi kemudi dalam parti ini tetapi UMNO apabila pergi pilihan raya tak pernah pergi berseorangan tetapi pergi sebagai BN.

“Kerana kita tahu kalau nak membangunkan negara ini, hendak memberi kestabilan politik dalam negara ini semua kaum kena bekerjasama. Selepas kita mendapat pemimpin yang mempunyai perjuangan yang tak boleh lompat-lompat Barulah kita boleh susun strategi Untuk membangunkan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.