Pelantikan YDP Dewan Negara Baharu: Azalina Ucap Tahniah Kepada Awang Bemee
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan tahniah kepada Senator Datuk Awang Bemee Ali Basah yang telah dilantik sebagai sebagai Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, pelantikan tersebut menjadi bukti kepada kesinambungan komitmen Kerajaan Madani mengiktiraf suara para perwakilan Dewan Negara.
“Bersempena dengan hari pertama Dewan Negara bersidang pada sesi kali ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah kerana telah dipilih sebagai Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara baharu bagi menggantikan Mendiang Senator Datuk Mutang Tagal yang telah meninggal dunia pada 10 Mei 2024 yang lalu.
“Sesungguhnya, ini merupakan satu lagi pelantikan yang cukup bersejarah bagi negara dan merupakan kesinambungan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam mengiktiraf dan memastikan suara mahupun pandangan perwakilan yang inklusif merangkumi segenap lapisan masyarakat serta wilayah di Malaysia.
“Saya amat gembira dan menghargai komitmen Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara baru dilantik ini untuk meneruskan agenda reformasi parlimen yang telah dimulakan oleh mantan Yang di-Pertua terutama dalam pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen dan inisiatif penambahbaikan Peraturan Mesyuarat (‘Standing Orders’),” katanya.
Menurutnya, beliau yakin dan percaya pengalaman yang ada pada Awang Bemee akan dapat menggalas tanggungjawab dan melaksanakan tugas dengan baik.
“Beliau juga mengulangi penegasan bahawa sebagai Badan Perundangan tertinggi negara, kewajipan dan tanggungjawab Dewan Negara adalah selaku mekanisme semak serta imbang, bukan sahaja kepada Badan Eksekutif tetapi juga kepada Dewan Negara.
“Saya yakin dan percaya dengan pengalaman luas beliau sebagai pengamal undang-undang serta Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak selama tiga penggal, Senator Datuk Awang Bemee bin Awang Ali Basah akan dapat menggalas tanggungjawab serta melaksanakan tugas ini dengan baik. Ia juga akan menyumbang ke arah merealisasikan agenda reformasi undang-undang dan institusi yang sedang giat dilaksanakan.
“Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan kepada segala khidmat dan jasa Mendiang YB Senator Datuk Mutang Tagal sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara. Beliau akan sentiasa dikenang,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-21.
Pada 15 Julai lalu, Awang Bemee mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh hingga 14 Julai 2027.
Beliau menjadi ADUN Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011, selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu. – UMNO Online