Isu Qunut Nazilah: Mohd Puad Bidas Kenyataan MP Jasin

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail mengenai isu Qunut Nazilah.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung selama enam bulan kerana melanggar peraturan tetap Dewan Rakyat.

“Pelik jawapan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail kenapa beliau baca Qunut Nazilah setelah Wan Ahmad Fayhsal digantung enam bulan. Beliau maklum, Wan Ahmad Fayhsal digantung bukan kerana tindakannya bantah penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada GIP-Blackrock.

“Beliau digantung kerana langgar peraturan tetap Dewan Rakyat. Beliau guna dokumen tidak berasas. Ia jadi fitnah. Matlamat tidak menghalalkan cara. Ambil contoh kalau ada orang kena tangkap kerana bakar kedai loteri di Kelantan, adakah beliau akan baca Qunut Nazilah untuknya?” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan mengapa Zulkifli membawa cerita palsu yang mengatakan kononnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak membenarkan takbir dan Qunut Nazilah di Perhimpunan Solidariti Palestin.

“Beliau kata kenapa ‘kepanasan’ dan ‘koyak’. Kenapa bisu isu Blackrock? Pas lagilah. Senyap terus dalam isu stoking kalimah Allah-KK Mart. Dia taraf Tuan Guru. Kenapa bawa cerita palsu kononnya KPM tidak benarkan takbir dan Qunut Nazilah di Perhimpunan Solidariti Palestin?

“Beliau melenting apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution kata jangan politikkan akidah. Beliau tuduh fitnah. Terkedu bila Saifudin tanya di mana fitnahnya apabila beliau cakap Islam agama keamanan dan kasih sayang.

“Pokoknya Ahli Parlimen Jasin yang kepanasan dan cepat koyak. Maka jangan apabila koyak terus baca Qunut Nazilah. Itu pelik,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail menjelaskan mengapa dan bagaimana beliau boleh membaca doa termasuk Qunut Nazilah selepas berakhirnya sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Berucap di sebuah majlis ceramah di Jasin dan disiarkan melalui media sosial, Zulkifli yang digelar sebagai tuan guru berkata beliau membaca doa berkenaan kerana diminta orang ahli Parlimen lain.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula semalam, susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti dalam undi belah bahagi, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.