Belanjawan Johor 2024: Kerajaan Negeri Komited Pastikan Rakyat Dapat Kediaman Selesa

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kerajaan negeri komited dan sentiasa menitikberatkan penyediaan kediaman yang selesa buat Bangsa Johor terutamanya bagi golongan yang dikategorikan sebagai miskin tegar dan kurang berkemampuan.

Menerusi Belanjawan Johor 2024, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM32 juta bagi inisiatif Bina Baharu Rumah melibatkan 328 unit dan RM22.79 juta bagi inisiatif Baik Pulih Rumah melibatkan 1,368 unit.

“Syukur Alhamdulillah, saya telah turun ke Segamat bagi melihat sendiri inisiatif Bina Baru Rumah dan Baik Pulih Rumah ini dilaksanakan. Saya ke rumah Encik Mohd Basari bin Dahlan iaitu penerima inisiatif Bina Baru Rumah, terletak di Jalan Ahmad Felda Tenang, Labis.

“Terharu dan begitu gembira terukir di wajah beliau serta keluarga apabila rumahnya telah siap dibina baru dengan kos sebanyak RM65,000. Pembinaan rumah ini adalah bagi golongan kurang berkemampuan yang mempunyai pemilikan tanah sama ada secara tunggal atau secara bersama yang akan dibina di atas tanah mereka.

“Saya kemudiannya ke lokasi penerima inisiatif Baik Pulih Rumah di Kampung Juaseh, Pekan Air Panas, Labis. Dengan kos sebanyak RM15,000, rumah milik Encik Dollah bin Alias telah siap dibaik pulih melibatkan pembaikan atap dan bumbung, serta kerja-kerja mengecat dan pembersihan kawasan sekitar,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook dan akaun X.

Tambah Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, semua itu berkat kerjasama semua pihak yang hasilnya telah memberi manfaat buat mereka yang memerlukan.

Selanjutnya, Onn Hafiz mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang Haslinda Salleh dan Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman.

Begitu juga kepada serta seluruh agensi terlibat seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ); Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Southern Volunteers (SV) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang sentiasa berkoordinasi dan bekerjasama bagi menjayakan inisiatif ini.

“Penyelarasan ini penting agar maklumat dan data yang tepat dapat diperolehi, seterusnya membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

“Semoga inisiatif baik ini mampu meningkatkan kualiti hidup Bangsa Johor serta memberi isyarat bahawa Johor serius menangani isu miskin tegar serta membantu rakyat yang memerlukan bantuan. Insya-Allah,” katanya.

Manakala dalam satu hantaran yang berlainan, Onn Hafiz juga berkesempatan melawat ke Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Daerah Labis yang juga dikenali sebagai Labis Hot Spring, iaitu kolam air panas semulajadi yang popular dalam kalangan para pelancong.

“Kolam ini mempunyai air panas yang mengandungi mineral seperti sulfur, yang diyakini mempunyai manfaat kesihatan dan dapat membantu dalam melegakan masalah kulit serta mengurangkan tekanan.

“Selain daripada kolam air panas utama, kawasan rekreasi ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti bilik persalinan, tandas, kawasan barbeku serta beberapa kawasan yang sesuai untuk berkelah sekaligus menjadikannya tempat yang ideal untuk berehat bersama keluarga,” katanya.

Justeru, Onn Hafiz turut berpendapat bahawa Kolam Air Panas Daerah Labis mempunyai potensi besar untuk dijadikan destinasi pelancongan utama di daerah ini.

“Kerajaan negeri mempunyai visi yang jelas iaitu bagi menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026, dengan sasaran seramai 12 juta pelancong ke negeri ini.

“Dengan strategi yang tepat serta kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, pengusaha pelancongan dan komuniti setempat, kolam air panas ini pasti dapat dibangunkan sekaligus menguntungkan seluruh rakyat di daerah Labis.

“Semoga usaha ini dapat direalisasikan dengan jayanya dan menjadikan Labis sebagai destinasi pelancongan utama yang terkenal dengan keindahan semulajadinya. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.