Pembinaan Semula Jambatan Gantung Dan Usaha Tangani Kemarau Di Laksana Di Sabah

KOTA KINABALU, 21 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan Persekutuan menyedari keperluan mendesak kepentingan laluan perhubungan bagi masyarakat maka bersetuju membina semula jambatan gantung di daerah Penampang dan Tuaran yang rosak akibat banjir dengan peruntukan sebanyak RM1 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Ujarnya, langkah segera ini merupakan tindakan proaktif susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah bermula 30 Jun 2024.

“Mengikut perincian laporan yang diterima, kejadian itu menjejaskan kehidupan 485 mangsa di kedua-dua daerah dan Putatan.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, saya telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menempatkan tiga set jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) sepanjang 39 meter dan mampu menampung beban seberat 50 tan pada satu-satu masa.”

Katanya, kemudahan ini adalah langkah persediaan sekiranya wujud keperluan segera bagi menggantikan jambatan runtuh.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan kajian di kawasan tanah runtuh berdekatan kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang berikutan hujan lebat berterusan pada 23 Jun lalu. Tindakan ini akan turut diselaraskan oleh pihak NADMA bagi mengenal pasti tindakan berkaitan yang perlu diambil.

“Selain itu, JMG turut diarah meletakkan pengesan atau sensor pergerakan di ceruncerun kaki Gunung Kinabalu serta kawasan-kawasan tumpuan penduduk dan pelancong.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) turut disaran melaksanakan pemeriksaan dengan lebih kerap dan mengenal pasti jalan-jalan yang terputus hubungan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Pada masa sama, kata Ahmad Zahid, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10 juta untuk menangani kesan cuaca kemarau di seluruh negara dan Sabah adalah antara negeri terjejas.

“Kemarau dilaporkan mula melanda pada pertengahan Mac dan berakhir pertengahan Mei lalu, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih di beberapa buah kampung.”

Jelasnya, Kerajaan amat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan petani di Sabah apabila tanaman masing-masing tidak mengeluarkan hasil sepatutnya akibat kesan cuaca panas, Kerajaan Persekutuan menggerakkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Negeri Sabah pada akhir Mac lalu.

“Langkah itu merupakan antara usaha bersepadu Kerajaan bagi mengurangkan impak cuaca panas di kawasan terjejas manakala OPA kedua akan dilaksanakan sekiranya keadaan didapati belum pulih sepenuhnya.

“Kerajaan Persekutuan berharap segala usaha ini berkesan dalam membantu dan melancarkan kelangsungan hidup rakyat negeri Sabah mendepani situasi banjir dan kesan cuaca kemarau pada masa akan datang.

“Segala langkah dan tindakan difikir wajar akan diambil mengikut keperluan kerana kesejahteraan rakyat di Negeri Sabah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.