UMNO Konsisten Kekalkan Dasar… Pendidikan Anak Bangsa, Hal Ehwal Islam Diutamakan

BALIK PULAU, 20 Julai – UMNO sejak awal penubuhan menerajui kerajaan, pengalaman 22 bulan menjadi pembangkang hinggalah sekarang berada dalam Kerajaan Perpaduan tetap konsisten mengekalkan dasarnya selaras dengan prinsip dan asas perjuangan parti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai agenda Islam dan orang Melayu menjadi keutamaan dalam setiap usaha dan tindakan contohnya dalam bidang pendidikan.

“Dasar yang UMNO laksanakan sehingga hari ini terus dikekalkan. Di bawah Kementerian Pendidikan ada Bahagian Pendidikan Islam. Di bawahnya ada 229 sekolah agama bantuan, 62 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), 558 buah sekolah menengah harian yang melaksanakan Kelas Aliran Agama (KAA).

“Ada 101,270 ribu guru-guru Pendidikan Islam setakat Disember 2023. Berapa bajet di bawah Bahagian Pendidikan Islam? Untuk tahun ini tidak kurang RM2.1 bilion,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Balik Pulau di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Shaik Hussein Mydin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan barisan kepimpinan UMNO negeri dan bahagian.

Bahkan tambah Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA sebagai institusi yang ditubuhkan oleh UMNO untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera turut menyediakan peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan.

“Itu tak termasuk MARA, ada 5,640 orang pelajar Melayu yang sedang belajar di 24 buah negara ketika ini. Berapa MARA taja? Belajar di United Kingdom kos yang ditanggung oleh MARA selama tiga tahun tak kurang daripada RM760 ribu seorang.

“Jika buat ‘medic’ di London kosnya mencecah RM1.1 juta seorang. Berapa MARA peruntukkan untuk setiap tahun? RM2 bilion. Tahun ini kita tetap menghantar tidak kurang dua ribu orang pelajar Melayu/Bumiputera,” katanya.

Begitu juga ujarnya dengan Kerajaan Perpaduan yang memperuntukkan RM1.9 bilion dalam Bajet 2024 bagi hal ehwal agama Islam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam majlis tersebut, Dr Asyraf turut menyampaikan ‘Anugerah Jasamu Dikenang’ kepada enam orang veteran UMNO Bahagian Balik Pulau yang telah banyak memberi jasa kepada parti dan negara. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit