Tindakan ADUN Rembia Bakal Beri Implikasi Kepada ‘Aku Janji’ PRN Melaka – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Jailani Khamis yang ‘melompat’ ke parti Pas bakal memberi implikasi kepada ‘aku janji’ dimeterai pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 lalu.

Menurutnya, pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka telah mengambil maklum keputusan tersebut dan akan menelitinya berdasarkan undang-undang serta peraturan.

“Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan saya sentiasa memberi keutamaan untuk membangunkan Negeri Melaka dalam pelbagai sektor demi menunaikan amanah yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU DUN Melaka ke-15 yang lalu. Justeru, kesemua wakil rakyat Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka terus komited untuk bekerja, berkhidmat dan berbakti kepada rakyat seperti mandat yang telah diberikan.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jailani Khamis kerana telah berkhidmat bersama UMNO selama lebih setahun di bawah pimpinan saya. Pentadbiran saya mengambil maklum keputusan beliau yang mendakwa telah menerima surat lantikan rasmi menyertai parti Pas sejak 10 Jun 2023 seperti yang telah diumumkan pada satu sidang media Perikatan Nasional (PN) di Parlimen pada 16 Julai 2024.

“Kerajaan Negeri dan Speaker DUN Melaka akan meneliti lebih lanjut dakwaan ADUN Rembia berpandukan kepada undang-undang dan peraturan. Perkara ini akan diteliti dari dua sudut berbeza iaitu melalui perlembagaan parti – sebagai wakil rakyat yang mewakili parti dan kerajaan negeri sebagai ADUN Melaka sebelum memuktamadkan sebarang tindakan susulan,” katanya pada satu sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau akan mengusulkan perkara tersebut kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum sebarang keputusan dan tindakan susulan diambil ke atas Muhammad Jailani.

“Kerajaan Negeri Melaka juga akan mengkaji kenyataan dibuat oleh ADUN Rembia termasuk dakwaan beliau sudah mengisytiharkan dirinya menyertai parti Pas pada Jun tahun lalu. Ini termasuklah melakukan semakan sama ada tindakan Muhamad Jailani menyertai parti Pas terkait dengan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan ketika Persidangan DUN Melaka pada 31 Julai tahun lalu.

“Dari sudut parti, tindakan dibuat oleh beliau ini akan memberi implikasi susulan ‘aku janji’ yang ditandatangani semasa bersetuju untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRU DUN Melaka Ke-15 lalu. Beliau perlu menanggung segala kos ganti rugi yang diberikan kepada calon atas nama parti dengan jumlah yang diambil kira munasabah. Apapun, saya akan mengusulkan perkara ini kepada MKT UMNO untuk memberi keputusan dan tindakan susulan.

“Kerajaan Negeri Melaka tidak mahu isu ini terus dibesar-besarkan kerana komitmen pentadbiran saya ketika ini adalah untuk mengembalikan kegemilangan Negeri Melaka sebagai pusat perindustrian, perdagangan, pertumbuhan ekonomi dan pelancongan tersohor di dunia. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, fokus kepimpinan Kerajaan Perpaduan adalah mensejahterakan kehidupan rakyat Negeri Melaka tercinta,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai parti itu secara rasmi.

Menurut Takiyuddin, keahlian Muhamad Jailani yang juga wakil rakyat UMNO itu diterima pada 10 Jun tahun lalu.

Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PNmenjelaskan, keputusan Muhamad Jailani yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun itu tidak dianggap sebagai lompat parti kerana pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.