Puteri UMNO Imej Perjuangan, Kesinambungan Wanita Melayu Muda Dalam Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Puteri UMNO memainkan peranan penting dalam membawa peranan besar sebagai pemimpin wanita muda kepada parti dan negara, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga merupakan ketua Puteri UMNO yang pertama sejak ditubuhkan pada 2001 berkata, mereka membawa tanggungjawab penting bagi meneruskan kesinambungan pemimpin terdahulu dalam menjunjung perjuangan parti keramat ini.

“Puteri UMNO bukan setakat nak cantik, pakai tudung merah jambu namun membawa imej perjuangan kesinambungan waris wanita Melayu muda dalam negara, itu tanggungjawab kita.

“Tak timbul berjawatan ataupun tidak, itu soal kedua tetapi lebih kepada peranan kita hari ini.

“Itu sebabnya saya masih bersama UMNO. Saya boleh memilih macam kawan-kawan yang lain tinggalkan parti dah belajar pandai, dapat ijazah sarjana, jadi peguam tapi saya masih di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Retreat Puteri UMNO yang diadakan di Janda Baik, baru-baru ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dalam pada itu turut berkongsi cabaran beliau dalam politik untuk dijadikan pembakar semangat kepada kepemimpinan Puteri UMNO dalam melaksanakan gerak kerja terbaik mereka.

“Saya ketua Puteri UMNO masuk tahun 2000 dan sudah 24 tahun puteri. Jadi, apa yang saya nak cerita di sini tak ramai bertahan dalam politik UMNO.

“Kalau kita nekad kepada konsep perjuangan kena jalan terus… apa yang orang tak hina, saya apa yang orang tak kutuk saya? Tetapi bagi saya kalau percaya benda kita buat yang betul jangan susah hati sebab yang akan buka pintu perjuangan kita ialah Allah s.w.t,” ujar beliau.

Pada kesempatan itu juga Azalina meluahkan harapan untuk Puteri UMNO menghayati perjuangan UMNO yang bertanggungjawab dalam membela nasib orang Melayu/Islam.

Menurut beliau apatahlagi dinamika politik hari ini menyaksikan perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana wujudnya pelbagai parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO yang kononnya berteraskan kepada perjuangan Melayu.

“Jadi itulah sebabnya hari ni saya kena ceritakan sejarah UMNO supaya memahami bahawa kita ni dilahirkan daripada satu parti yang ditubuhkan pada tahun 1946 atas sebab menjadi telinga dan mata kepada orang Melayu/Islam.

“Orang Melayu/Islam (hari ini) berpecah kepada pelbagai parti-parti politik malah pimpinan parti politik pembangkang kebanyakannya datang daripada perut UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.