Puteri UMNO Bakal Anjur Kempen Kesedaran Keselamatan Diri Untuk Wanita Muda

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan menganjurkan kempen kesedaran berkenaan langkah-langkah menjaga keselamatan diri dalam kalangan wanita muda.

Biro Perundangan, Ellena Razif berkata ia penting untuk tindakan waspada dengan situasi sekeliling demi menjaga keselamatan diri, ini termasuk mempelajari seni mempertahankan diri yang akan dilaksanakan menerusi kempen tersebut.

“Kami akan merangka dan menjalankan program- program yang bersesuaian seperti kelas seni mempertahankan diri, sesi kaunseling dan bantuan guaman.

“Kami juga berharap agar para gadis di luar sana lebih berhati- hati dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.

“Di samping mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berada di dalam situasi yang membahayakan. Sentiasa bawa peralatan mempertahankan diri seperti pepper spray dan alat penggera,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, semalam.

Ellena dalam pada itu berkata Puteri UMNO berduka cita dengan pembunuhan Nur Farah Kartini di samping berharap agar pelaku mendapat hukuman yang sewajarnya.

“Pergerakan Puteri UMNO amat kesal dan sedih dengan apa yang telah berlaku kepada seorang gadis muda, Nur Farah Kartini yang telah dibunuh dengan kejam.

“Puteri berharap agar si pelaku di bawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal, kes yang sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Terdahulu pada Isnin, mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang selepas dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.