UMNO Sabah Perlu Tebus Maruah, Rampas Kembali Kerusi Yang Hilang – Bung Moktar
SIPITANG, 18 Julai – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di bahagian Sipitang perlu menyusun gerak kerja sebaiknya untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Sinduman termasuk Parlimen Sipitang.
Ujar Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, secara tradisinya dua kerusi DUN iaitu Sinduman dan Lumadan termasuk Parlimen Sipitang sebelum ini merupakan kawasan milik BN.
“Saya yakin jika diurus dengan baik, dengan strategi yang yang tepat maka kawasan Parlimen Sipitang yang merangkumi dua DUN iaitu Lumadan dan Sinduman mampu kita tawan semula kerana kawasan ini tradisinya sebelum ini diwakili oleh UMNO.
“Oleh itu kepimpinan serta ahli UMNO di kawasan ini perlu berusaha untuk pastikan kerusi dapat dikembalikan dan dirampas semula,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sipitang di Dewan Masyarakat Sipitang, baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Mohd Abd Rahman Mohd Noh dan wakil UMNO Sabah Mohd Rashid Matahon.
Bung yang juga MKT UMNO juga meminta UMNO Bahagian Sipitang agar dapat menyusun gerak kerja dengan teratur serta memberikan penerangan tentang isu-isu semasa kepada pengundi agar mereka memahami keadaan sebenar dan tidak terus diputar belitkan dengan isu-isu yang dimainkan pihak lawan.
Tambahnya, UMNO perlu pastikan kekuatan parti bagi menghadapi PRN akan datang dengan kebergantungan sokongan tidak hanya datangnya dari ahli-ahli UMNO sahaja, tapi mereka yang berada di luar parti juga perlu disantuni dengan gerak kerja serta khidmat sosial secara berterusan.
“UMNO tidak boleh bergantung semata-mata kepada sokongan dari ahli parti, mereka yang ada di luar dari parti perlu didekati, perlu diberikan layanan yang sama rata terutamanya dalam kerja-kerja tanggungjawab sosial,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama Bung mengingatkan semua bahagian di negeri ini bahawa mereka diberikan tempoh sebulan untuk menyediakan laporan mengenai data keahlian parti di semua cawangan.
“Statistik ini penting untuk persediaan kita menghadapi pilihan raya, ini termasuklah jumlah ahli di semua cawangan, jumlah pengundi muda, jumlah pengundi (ahli) yang berada di luar kawasan kerana dengan adanya data ini kita dapat mengukur kekuatan parti dan mengatur strategi untuk menenangi pilihan raya,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid