Himpunan BN Sabah: Kehadiran PM Bukan Untuk Pecah Belah, Satukan Rakyat Bawah Kerajaan Perpaduan
LAHAD DATU, 18 Julai – Tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan perancangan kehadiran Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Himpunan Barisan Nasional (BN) Sabah, Ahad nanti dibidas malah telah menimbulkan kemarahan kepada ketua-ketua UMNO Bahagian Sabah.
Terdahulu dilaporkan, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata PM tidak wajar hadir Himpunan BN Sabah di Sandakan pada 21 Julai ini kerana dilihat sebagai satu usaha memecah-belahkan kesatuan di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah.
Bagi Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul kenyataan tersebut adalah tidak benar.
“Saya terpanggil menepis dakwaan Zulkarnain menyatakan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri tidak wajar hadir himpunan BN Sabah. Tahukah Zulkarnain Yang di-Pertuan Agong, ketika itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tahukah Zulkarnain, selepas itu penegasan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini untuk tidak melayan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara adalah titik noktah kepada kebimbangan perjalanan politik tanah air yang sarat dengan pelbagai polemik yang tidak sepatutnya berlaku?
“Kenyataan Zulkarnain ini boleh menimbulkan kebimbangan perjalanan politik tanah air yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, rakyat Sabah percaya, dengan adanya program Konnvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50 bertempat Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan akan dapat menyatupadukan seluruh kaum yang berada di negeri terbabit di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Tahukah Zulkarnain BN Sabah adalah sama dengan BN yang berada di semua negeri dalam Malaysia, dan Pengerusinya adalah YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi?
“Tahukah Zulkarnain kehadiran YAB PM ke Sabah, ingin bersama lebih sejuta ahli BN terdiri daripada parti UMNO, PBRS, MCA, dan MIC.”
Jelasnya, selama ini BN berdiam dan sentiasa bersabar walaupun setahun lebih PM dan BN Sabah tidak pernah bersama dalam membuat program di bumi Sabah.
“Sokongan BN cukup terbukti kepada YAB PM hingga membentuk Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menterinya,” katanya lagi. – UMNO Online