Pemuda UMNO Beaufort Lulus Usul Tubuh Tabung Pendidikan Dan Keusahawan

KUALA PENYU, 17 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufot dalam mesyuarat perwakilannya minggu lepas telah meluluskan usul untuk menubuhkan tabung pendidikan dan keusahawanan bagi kawasan Parlimen Beaufort.

Ketuanya, Ak. Mohd Yazri Ak. Mohd Yahya berkata tujuan penubuhan tabung tersebut adalah untuk memperkasakan mutu dan pencapaian pendidikan pelajar di kawasan Parlimen sementara penubuhan tabung keusahawanan pula untuk membantu golongan belia dalam bidang keusahawan

“Tabung Pendidikan diwujudkan bagi membantu para pelajar yang memerlukan bantuan, contohnya (pelajar) yang menghadapi musibah atau tragedi secara sekali beri atau yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi bermasalah untuk membayar wang pendahuluan,” katanya ketika di temui selepas mesyuarat perwakilan tersebut yang bertempat di Dewan Ambuyat Syahbandar Makang dekat sini

Sementara itu bagi tabung keusahawanan pula menurut Ak. Mohd Yazri, ia ditubuhkan bagi membantu para belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan antaranya dalam perniagaan, pertanian dan sebagainya.

“Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi merancang serta melaksanakan dua tabung ini terutamanya untuk mendapatkan dana bagi mengisi kedua-dua tabung ini,” katanya.

Menurut beliau tabung ini tidak sekadar membantu dari segi sumber kewangan tapi turut memberikan penekanan kepada pendekatan lain seperti dalam bidang pendidikan menganjurkan kelas-kelas tambahan, ceramah mitovasi, anugerah dan sebagainya.

“Dalam bidang keusahawanan pula kita (Pemuda UMNO) akan berkolaborasi dengan jabatan atau agensi kerajaan berkaitan untuk mengadakan kursus-kursus kemahiran dan mendedahkan peluang serta dana yang disediakan oleh kerajaan untuk golongan belia menceburi bidang keushawanan,“ katanya.

Usul lain yang dipersetujui semasa mesyuarat perwakilan tersebut ialah pembebasan dan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau lebih dikenali dengan Bossku.

“Sampai hari ini, Bossku tidak mendapat keampunan penuh, walaupun telah diberikan (titah adendum), namun ditolak (mahkamah) termasuk tahanan di rumah juga tidak diberikan,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Ak Mohd Yazri, Pergerakan Pemuda UMNO bahagian perlu bersolidariti bagi memastikan keadilan terhadap Najib dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, isu keadilan buat Najib amat dekat di hati rakyat negara ini dan ia perlu diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh.

“Kalau saya ambil contoh PKR boleh memperjuangkan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka UMNO juga boleh perjuangkan keadilan untuk Bossku.

“Saya berharap usul ini menjadi satu gelombang menyatukan UMNO dan penyokong supaya kita boleh bergerak ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.