Noktahkan Lompat Melompat Parti, Tidak Untungkan Rakyat – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 17 Julai – UMNO Kedah hari ini menggesa agar kerajaan segera menoktahkan kemelut politik yang sama sekali tidak menguntungkan rakyat ekoran masih terdapat adegan melompat parti.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata rakyat sudah muak dengan perkara berkenaan dan perkembangan terkini berhubung kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis ke dalam Pas menimbulkan seribu satu persoalan.

“Tahniah Pas, orang tanya terkejut tak gerakan politik terbaru parti Pas? Sudah tentunya telah dijangkakan. Kalau sebelum ini pelbagai dalil pun depa pusing, inikan pula undang-undang dan akta Parlimen, sudah tentunya remeh dan bersifat mudah bagi mereka.

“Bagi saya gerakan baharu politik Pas melambangkan hipokrasi tertinggi demi mendapatkan ‘laba politik’ tahap maksimum. Rakyat sudah letih dan mual ‘akrobatik politik’ yang sudah tentunya akan menyusahkan rakyat.

“Pilihan raya kecil demi pilihan raya kecil sudah tentunya mengganggu agenda kerajaan yang mahu kembali meletakkan negara ini ke landasan sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, hakikatnya pembangkang sudah terperangkap dengan gerakan ‘scheme of things’ yang sudah dirancang daripada mula.

“Bermula dengan gerakan mahu menyediakan perjanjian pintu belakang sebaik sahaja selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu menggunakan kelompongan akta yang sedia ada.

“UMNO Kedah cabar Pengerusi Perikatan Nasional dan Ketua Pembangkang memberi penjelasan dan respon atas pendirian mereka menentang klausa khas di dalam Akta Lompat Parti dalam perbincangan dan perdebatan Dewan Rakyat terdahulu.

“Apa pun UMNO Kedah mohon agar kerajaan dengan segera menoktahkan kemelut politik yang sama sekali tidak menguntungkan rakyat ini,” ujaranya.

Memetik laporan, Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Bercakap pada sidang media di Parlimen semalam, Takiyuddin berkata keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.