PEMENANG Pandang Berat Isu 10,000 Pelajar Tidak Duduki SPM, Majoriti Melayu/Bumiputera

PULAU PINANG, 11 Julai – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) menggesa kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera membuat satu kajian menyeluruh mengenai sebab-sebab lebih 10,000 pelajar tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas.

Presiden PEMENANG, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, KPTM dan KPM diwajibkan memandang berat dan serius isu pelajar yang majoritinya Melayu/Bumiputera tidak menduduki peperiksaan kerana ia akan memberi impak terhadap pembangunan modal insan negara dalam beberapa tahun akan datang.

“Satu kajian menyeluruh mengenai isu calon tidak menduduki peperiksaan hendaklah dilakukan bagi mengenal pasti sebab musababnya dan merumuskan kaedah-kaedah mengatasi masalah ini kerana jika dibiarkan berterusan maka ia akan menjejaskan pembangunan modal insan negara dalam masa beberapa tahun ke hadapan,” kata beliau.

Katanya, KPTM dan KPM perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh tenaga pakar dan profesional dalam pendidikan yang didapati ramai dalam negara ini supaya kajian meyeluruh dan data terperinci dapat dirancang dan dilaksanakan demi masa depan negara.

Beliau berkata, dalam usaha kerajaan sedang membuka peluang kepada semua kaum untuk memasuki institusi pendidikan yang dikhususkan kepada Bumiputera, kerajaan juga harus melihat dengan lebih serius dilema dan keciciran pelajar Melayu/Bumiputera di peringkat sekolah-sekolah menengah.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dipetik sebagai berkata seramai 10,160 daripada 383,685 orang calon SPM 2023 tidak hadir peperiksaan itu dan lebih 30 ribu pelajar secara purata setahun yang ramainya pelajar Melayu /Bumiputera tidak mendaftar untuk menduduki SPM.

Mohd Yussof berkata, peruntukan khas bagi memberi peluang kepada Melayu/Bumiputera memasuki mana-mana institusi pendidikan tidak akan bermakna jika ramai anak-anak Melayu/Bumiputera sendiri tercicir dalam pendidikan di peringkat SPM.

Dalam masa yang sama, PEMENANG meminta mana-mana pihak agar tidak mengganggu-gugat Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang sememangnya dikhususkan untuk kaum Bumiputera di negara ini dan telah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

PEMENANG berpendirian tegas dalam isu ini kerana matlamat penubuhan UiTM yang dahulunya dikenali sebagai Institut Teknologi MARA atau ITM adalah bagi melahirkan golongan separa profesional dan profesional dari kaum Melayu/Bumiputera dengan melahirkan graduan di peringkat sijil, diploma dan ijazah.

“Ini adalah dasar kerajaan yang bersesuaian yang termaktub Perlembagaan Negara yang memberi keistimewaan kepada golongan Melayu/Bumiputera dalam bidang pendidikan supaya anak-anak Melayu/Bumiputera manakala golongan bukan Melayu/Bumiputera bebas memasuki mana-mana institusi pendidikan yang lain,” kata beliau lagi.

Beliau berkata, UiTM ini adalah milik mutlak Melayu/Bumiputera dan mesti dikekalkan sebagai milik Melayu/Bumiputera selamanya dan tiada mana-mana pihak berhak mempertikaikannya demi kemaslahatan negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.