Jawatankuasa Peringkat Tinggi Ditubuh Pantau Pembangunan Industri Jagung Bijian – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi ditubuhkan sebagai keperluan Pembangunan Industri Jagung Bijian.

Menurut beliau keputusan itu dilakukan berdasarkan keperluan Pembangunan Industri Jagung Bijian yang akan dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun bagi menjamin ekosistem industri ternakan ayam dan makanan ternakan negara.

“Saya juga menyarankan dalam fasa Pengukuhan ketika ini (2021 – 2025), tanah penanaman perlu digandakan bagi memastikan pencapaian yang disasarkan dapat dicapai. Saya juga ingin menyeru agar kerajaan negeri dan pihak lain turut menyambut baik cadangan ini dengan melihat tanah-tanah kosong yang boleh diusahakan dalam memperluaskan Pembangunan Industri Jagung Bijian tersebut.

“Malah saya juga menawarkan tanah milik agensi dibawah KKDW seperti FELCRA, RISDA serta Lembaga Kemajuan Tanah untuk dibangunkan. Perbincangan kedua mengenai senario dan isu-isu semasa industri gula di bawah kluster makanan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Mesyuarat turut meneliti senario dan isu semasa yang dihadapi industri gula tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam pada itu turut berkata mesyuarat turut sama menyentuh berkenaan senario dan isu-isu semasa industri gula di bawah kluster makanan.

Kata beliau sehingga ke hari ini, harga jualan runcit gula putih bertapis di Malaysia masih kekal terendah di kalangan negara ASEAN, memberikan cabaran jangka pendek dan sederhana perlu ditangani segera.

“Justeru, setelah meneliti dan mendengar semua pandangan ahli mesyuarat, mesyuarat bersetuju agar perkara ini diangkat segera ke perhatian Jemaah Menteri dan diputuskan dalam masa terdekat.

“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk mewajibkan pembekalan gula putih bertapis dan sentiasa tersedia dalam gudang dengan kapasiti 1000 metrik dan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dan 1000 metrik tan di Sarawak,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan perbincangan mengenai potensi TVET yang besar turut di sentuh membabitkan agenda kos sara hidup terutamanya dalam aspek peningkatan pendapatan, peningkatan produktiviti, pengurusan pengeluaran produk dan perkhidmatan yang lebih efisien dan sekaligus menstabilkan harga barang dalam tempoh yang lebih lama.

Katanya, sektor yang menjadi tumpuan TVET merupakan sektor strategik serta terkait rapat dengan agenda sara hidup negara antaranya adalah sekuriti makanan negara, industri berasaskan teknologi AI serta inovasi yang menyokong kepada kemampanan industri utama negara seperti peralihan tenaga, pertanian, perindustrian semikonduktor dan sebagainya.

“Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju supaya sinergi pelaksanaan TVET oleh pelbagai pihak terutamanya melalui Majlis TVET Negara dan NACCOL dengan bekerjasama bersama-sama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Saya mengharapkan agar agenda ini dapat disebar luas ke negeri dengan lebih pantas melalui sinergi pelbagai platform seperti platform NACCOL dan Majlis TVET Negara. Sinergi ini perlu diterjemahkan segera di peringkat negeri dan akhirnya daerah agar ia berkembang pantas,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.