Tekad Perwakilan Kembalikan Kerusi Gerik Kepada UMNO, Kehadiran Presiden Suntik Semangat Perjuangan

GERIK, 10 Julai – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyaksikan kerusi Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu beralih kepada pembangkang apabila calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO tewas buat pertama kalinya di kawasan terbabit.

Lantaran itu, perwakilan UMNO Bahagian Gerik yang bersidang dalam Mesyuarat UMNO Bahagian terbabit pada Isnin sepakat memperkukuh tekad bagi mengembalikan semula kerusi terbabit ke pangkuan BN/UMNO.

Ketuanya, Datuk Aznel Ibrahim berkata, sokongan padu anggota akar umbi dan kedatangan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku perasmi mesyuarat bahagian telah memberi suntikan semangat kepada para perwakilan dan anggota parti.

“Saya yakin dengan hadirnya Presiden ini maka semangat yang begitu memberangsangkan daripada perwakilan dapat dilihat, sokongan padu dan janji untuk wala’ atau taat dengan keputusan Presiden, menghormati institusi Presiden UMNO Malaysia dan terus bekerja kuat demi parti.”

Katanya, keutamaan kini adalah memperkuatkan parti dan terus bekerja bagi memastikan pada PRU16 berjaya mencapai kemenangan.

“Hasrat untuk kami di sini adalah mengembalikan kerusi yang telah tewas pada PRU15 iaitu DUN Pengkalan Hulu dan Parlimen Gerik. Sekarang masa untuk kami berkerja keras bagi memastikan kemenangan kerana kita melihat kawasan ini adalah kawasan yang tidak pernah mengalami kekalahan dalam PRU sebelum-sebelum ini.

“Dulu kita tewas disebabkan tsunami politik dan ada beberapa faktor yang menyebabkan sedikit kekeliruan ahli namun hari ini kita telah melihat sokongan padu daripada UMNO Bahagian Gerik dan perwakilan semua yang hadir untuk terus bekerja kuat,” katanya kepada UMNO Online selepas persidangan.

Aznel turut memaklumkan berkaitan penerangan dan gerak kerja yang dilaksana berkaitan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Bila kita sebut tentang Kerajaan Perpaduan, kami sedang membuat ‘road show’ secara kumpulan kecil ke cawangan-cawangan untuk memastikan pemahaman sampai ke akar umbi kerana memang ada juga ahli-ahli kita yang kurang faham dengan penyatuan Kerajaan Perpaduan sekarang.

“Memang ada yang masih mempertikaikan kita bekerjasama dengan Dap tetapi setelah kita menerang pentingnya wujud Kerajaan Perpaduan untuk kita menjadi sebahagian daripada kerajaan dan UMNO sekarang dominan semula maka ia difahami.

“Mereka sudah boleh menerima kenapa kita buat keputusan untuk wujudkan Kerajaan Perpaduan yang semuanya demi untuk membantu rakyat termasuk yang di luar bandar yang sentiasa memerlukan bantuan dari pihak kerajaan.”

Justeru beliau berpesan kepada ahli-ahli untuk teruskan gerak kerja.

“Kita teruskan gerak kerja untuk memastikan ahli-ahli akar umbi memberi sokongan dan kita akan cuba menarik penduduk-penduduk yang tidak menjadi ahli mana-mana parti untuk menyokong kita,” katanya lagi.

Turut hadir dalam persidangan tersebut ialah ‘bapa angkat’ UMNO Bahagian Gerik iaitu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.