RUU Berkaitan Pekerja Gig Dijangka Dibentang Pada Sesi Parlimen Oktober – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Rang undang-undang berkaitan kebajikan pekerja gig dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 Oktober ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia yang dipengerusikan beliau, di sini, hari ini.

Beliau berkata penggubalan akta itu perlu dibuat berikutan hanya kira-kira 250,000 daripada 1.16 juta pekerja gig di negara ini yang mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“… suatu akta baharu bagi mencakupi soal pekerja-pekerja gig ini akan dibentangkan oleh KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) dan kita mempunyai tarikh siaran untuk bacaan kali pertama akta baharu ini pada sidang Parlimen Oktober hingga Disember ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee.

Timbalan Perdana Menteri berkata mesyuarat itu turut memutuskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig secara formal yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan ia akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan lagi.

Ahmad Zahid berkata suruhanjaya itu tidak hanya meliputi pekerja e-hailing dan p-hailing semata-mata, tetapi meliputi pekerja separa masa dan separa profesional yang termasuk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Beliau berkata KESUMA akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan pewujudan akta baharu itu dan beberapa aspek ekonomi gig secara holistik dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

“Ini adalah satu ‘game changer’ yang dilakukan kerajaan kerana terdapat hanya ada beberapa negara saja di dunia yang telah melaksanakan akta dan Suruhanjaya Ekonomi Gig ini iaitu di California, Amerika Syarikat, di India dan beberapa negara jiran sedang melakukannya.

“Pihak ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) hanya akan mengadakan persidangan mengenai perkara ini pada tahun depan, tetapi Malaysia melalui KESUMA mengambil beberapa langkah proaktif untuk melakukannya lebih awal,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.