Skop Tugas Suruhanjaya Pekerja Gig Diperluas, Dijenamakan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata jemaah menteri telah bersetuju memperluaskan skop dan bidang tugas Suruhanjaya Pekerja Gig dan menjenamakannya sebagai Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia di bawah ‘High Level Committee’ yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Menurut beliau Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia yang holistik akan membantu menangani pelbagai isu dan kelompongan dalam ekonomi gig yang merangkumi pangkalan data pekerja dan data platform gig, keselamatan sosial dan kadar upah.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) juga dalam proses mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri bagi menggubal undang-undang perburuhan untuk melindungi pekerja gig yang mencakupi empat perkara penting iaitu definisi pekerja gig, upah, mekanisme kilanan atau aduan dan perlindungan sosial.

“Cadangan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menangani isu-isu utama yang dihadapi oleh pekerja gig dan memastikan kebajikan mereka terjamin. Langkah ini juga akan membantu dalam membangunkan sektor ekonomi gig yang lebih mampan dan berdaya saing sekaligus memberi sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan sempena Pembentangan Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Bagi Tahun 2021 Dan 2022.

Berhubung perkara yang dibangkitkan mengenai amalan diskriminasi dalam pengambilan pekerja orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahman menjelaskan KESUMA mengetuai Jawatankuasa Pekerjaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang memberi tumpuan khusus kepada isu berkaitan pekerjaan dan penggajian OKU di sektor awam dan swasta.

“Jawatankuasa ini juga menyelaras semua aspek penggajian termasuk amalan diskriminasi yang berlaku semasa pengambilan pekerja OKU dilakukan. Selain itu, KESUMA melalui PERKESO juga menjalankan sesi libat urus bersama majikan bagi memberi kesedaran berkenaan penggajian OKU dalam pasaran pekerjaan.

“Sehubungan itu, dalam program penempatan pekerjaan yang dijalankan khusus kepada OKU pada tahun 2023, seramai 16,619 OKU telah ditempatkan. Manakala bermula 1 Januari 2024 hingga 20 Jun 2024, seramai 12,151 telah berjaya ditempatkan.

“Selain itu, melalui pindaan terkini terhadap Akta Kerja 1955 (Akta 265), suatu peruntukan baru di bawah seksyen 69F telah diwujudkan bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja untuk menyiasat dan memutuskan sebarang pertikaian di antara pekerja dan majikan berhubung diskriminasi dalam pekerjaan termasuklah diskriminasi yang melibatkan OKU,” ujarnya.

Tambah Abdul Rahman peruntukan ini juga memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja untuk mengeluarkan sebarang perintah yang bersesuaian dan pada masa yang sama, majikan yang gagal mematuhi perintah tersebut sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM50,000 dan bagi kesalahan berterusan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan.

“KESUMA menyarankan mana-mana pihak yang berhadapan dengan diskriminasi sama ada dari sektor awam atau sektor swasta segera melaporkan perkara tersebut menggunakan platform yang telah disediakan dalam sektor awam dan Jabatan Tenaga Kerja bagi sektor swasta. Amalan diskriminasi haruslah dibendung bagi mewujudkan suasana pekerjaan yang harmoni dan selamat kepada pekerja,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.