Subsidi Diesel: Kerajaan Perlu Kaji Implikasi Yang Meresahkan Rakyat – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan bersetuju pandangan yang diberikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkenaan isu penarikan subsidi diesel yang membebankan rakyat termasuk cara kerajaan menangani dengan menyalahkan pihak tertentu tanpa penyelesaian tuntas dan tegas.

Menurut beliau, kerajaan pada hari ini perlu berhenti menyalahkan semua pihak terutama rakyat dalam menangani isu ini.

Katanya, walaupun penarikan subsidi diesel telah dihenti tetapi kenaikan harga barang sedang berlaku akibat penarikan tersebut.

“Kerajaan wajar mengkaji implikasi secara langsung yang pasti meresahkan rakyat, usah bermain politik ‘blame game’ dan menidakkan bahawa kenaikan harga barangan sedang berlaku akibat langkah penarikan subsidi ini.

“Kenaikan yang terlalu drastik sehingga RM1.20 seliter bagi diesel pasti membebankan rakyat terutama golongan B40 dan M40.

“Apatah lagi ada golongan tertentu yang kerajaan terlepas pandang termasuk rakyat yang memiliki kenderaan pacuan roda bagi kegunaan harian, peniaga atau usahawan jalanan yang tidak berdaftar termasuk perniagaan yang hampir setiap hari menggunakan diesel namun subsidinya tetap RM200 sebulan,” katanya.

Ujarnya, lebih molek kerajaan mengkaji kembali dan melakukan peningkatan berkala bagi memastikan rakyat tidak terlalu terbeban.

Mengulas lanjut, kata Shah Zanuriman lagi, semasa Barisan Nasional (BN) mentadbir negara kenaikan harga diesel dan petrol dapat dikawal.

“Zaman BN adalah zaman kegemilangan dan kemakmuran negara yang terbaik… tapi sayang walaupun kenaikan petrol dan diesel yang terkawal pada ketika itu, rakyat tetap memilih untuk berguling di jalanan.

“Namun kenaikan mendadak kali ini… tanya hati, jangan dibutakan mata dan hati hanya kerana sokongan membuta tuli,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.