Jangan Anggap TVET Bidang ‘Kelas Kedua’ – Zambry
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyeru seluruh masyarakat untuk tidak mengklasifikasikan bidang bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai bidang ‘kelas kedua’.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, persepsi tersebut sudah tidak relevan kerana kerajaan sedang berusaha menyediakan peluang untuk TVET berada pada tahap yang lebih tinggi.
“Masyarakat diminta tidak lagi menganggap bidang TVET sebagai bidang ‘kelas kedua’. Persepsi itu sudah tiada kerana kerajaan sedang menyediakan peluang yang amat luas untuk pendidikan TVET tahap tinggi.
“Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut mengalu-alukan kolaborasi akademia-industri dalam misi melahirkan graduan yang memiliki kemahiran dan ilmu selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Di pihak IPT, universiti seharusnya bukan sahaja menjadi tempat untuk mengasah bakat dan menimba pengetahuan, malah turut disaran untuk mengadakan program kajian berkaitan industri TVET Termaju (Advanced TVET) melalui hubungan kerjasama sesama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), sektor kerajaan, mahupun pemain industri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, beliau telah hadir ke Majlis Penutup Program Industri-Akademia berkenaan TVET Termaju 2024 (MTUN Industry-Academia Discourse on Advanced TVET 2024 – MIAD 2024) anjuran Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (Malaysia Technical Universities Network – MTUN) pada Rabu.
“Program ini telah berjaya menghimpunkan kumpulan pakar dalam kalangan pemimpin dan penggubal dasar; penyelidik; dan pemain industri global, termasuklah Pengarah Kanan (Pendidikan dan Teknologi) Alibaba (China), Zhang Lei, bagi menerokai peluang pencorakan TVET Termaju (Advanced TVET) masa hadapan.
“Sebanyak 23 buah memorandum persefahaman (MoU) antara MTUN dengan rakan strategik melibatkan pelbagai industri utama dalam negara bagi bidang tersebut bagi memastikan keperluan tenaga kerja dapat diselaraskan dengan pihak universiti MTUN,” katanya. – UMNO Online