Syarikat Asing Bekal Aset Ketenteraan Perlu Bantu Negara Bangunkan Sektor Tertentu

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Syarikat asing yang berhasrat untuk membekalkan aset ketenteraan kepada Malaysia perlu bersedia membantu negara membangunkan sektor tertentu bagi menyumbang kepada industri pertahanan tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah mengadakan lawatan industri ke syarikat-syarikat di bawah ekosistem pertahanan Republik Turkiye pada Selasa.

“Sebahagian daripada lawatan kerja saya ke Republik Turkiye, saya telah mengadakan lawatan industri ke syarikat-syarikat di bawah ekosistem pertahanan Republik ini, iaitu Aselsan dan Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE).

“Syarikat Aselsan memberikan penumpuan terhadap teknologi-teknologi sistem pertahanan bersepadu, radar, peperangan elektronik, teknologi komunikasi dan maklumat. Manakala MKE pula memfokuskan pada senjata, peluru, roket, bahan letupan dan bahan kimia.

”Saya berpeluang mendengar taklimat dan melihat sendiri operasi kedua-dua syarikat ini kerana ia cukup penting dalam sebarang kerjasama antara industri tempatan negara dan Turkiye. Kesempatan yang ada turut digunakan untuk lawatan fasiliti di Aselsan dan kilang kartrij senjata kecil yang dibangunkan oleh MKE,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kerajaan sedang meneroka peluang untuk syarikat pertahanan tempatan mengadakan kerjasama dengan mana-mana syarikat luar negara.

“Kementerian kini sedang meneroka peluang untuk industri pertahanan tempatan mengadakan kerjasama dengan mana-mana syarikat luar, misalnya dalam penyelidikan dan pembangunan bersama serta pemindahan teknologi. Kesemua ini cukup penting dalam membina keupayaan dan kemampuan industri pertahanan agar dapat mengurangkan tahap kebergantungan Malaysia kepada negara luar.

“Saya telah tekankan bahawa syarikat asing yang berhasrat membekalkan aset ketenteraan Malaysia perlu bersedia membantu negara membangunkan sektor tertentu untuk menyumbang kepada industri pertahanan tempatan.

“Kerajaan ingin memastikan bahawa sebarang pembelian tidak berakhir dengan pembelian. Sebaliknya ia membawa kepada perkongsian jangka panjang yang saling menguntungkan dan mengukuhkan kedua-dua industri pertahanan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Mohamed Khaled telah tiba di Ankara, Turkiye bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama lima hari ke republik berkenaan pada Ahad.

Beliau dan delegasi Kementerian Pertahanan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ankara Esenboga pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) sebelum disambut Charge d’Affaires Malaysia di Ankara, Clara Soon May Lynn dan Pegawai Pengiring Turkiye, Laksamana Pertama Nilufen Cotuk.

Menurut Mohamed Khaled, Malaysia dan Turkiye telah merintis hubungan diplomatik yang baik termasuk menerusi konteks pertahanan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.