Penuhi Keperluan… Beberapa Universiti, Pusat Pengajian Tinggi Tawar Kursus Industri Halal – Zambry

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Terdapat beberapa universiti tempatan dan pusat pengajian tinggi sedang menawarkan kursus dalam bidang industri halal yang akan melahirkan tenaga kerja profesional diperlukan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, industri halal merupakan antara pemangkin ekonomi negara dan berpotensi besar untuk terus berkembang.

“Industri halal antara pemangkin ekonomi negara berpotensi besar untuk terus berkembang. Perkembangan industri halal di negara ini yang turut diiktiraf dunia berjaya membuka 25,000 peluang pekerjaan baharu pada tahun 2023 terutama bagi pengaudit halal.

“Berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy 2023 yang dikeluarkan oleh Dinar Standards, Malaysia kekal di tangga teratas buat tahun ke-10 berturut-turut bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023.

“Malaysia diakui sebagai antara negara peneraju utama dalam industri halal global dengan ekosistem perniagaan halal teratur dan diyakini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, beliau telah hadir ke Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Bil. 1/2024 bagi membincangkan usaha ke arah memperkasa industri halal negara.

“Petang tadi, saya hadir ke Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Bil. 1/2024 di Pusat Konvensyen KLIA, Kompleks Tabung Haji, Sepang yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan usaha ke arah memperkasa industri halal negara.

“Mesyuarat menekankan tentang inisiatif penambahbaikan Taman Industri Halal HALMAS (Halal Parks). Dimaklumkan sehingga kini terdapat sebanyak 14 buah HALMAS yang telah diwartakan di seluruh negara dengan keluasan sebanyak 13,553.11 ekar. HALMAS merupakan akreditasi yang ditawarkan kepada operator Taman Halal yang berjaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan di bawah pembangunan Taman Halal HDC.

“Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sehingga kini terdapat beberapa universiti tempatan dan pusat pengajian tinggi yang menawarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedang menawarkan kursus dalam bidang industri halal yang akan melahirkan tenaga kerja profesional diperlukan,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan telah menubuhkan satu pasukan petugas bagi menyelaras pembangunan Taman Perindustrian Halal serta mengenal pasti kekangan yang dihadapi kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan berkenaan di negeri masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata daripada 13,000 ekar (5260.91 hektar) tanah yang diperuntukkan kerajaan-kerajaan negeri untuk Taman Perindustrian Halal, hanya 11 peratus sahaja dimajukan dan dibangunkan sejak 2009 hingga kini.

Beliau berkata ia bermakna kerajaan negeri komited untuk penyediaan industri halal, namun mungkin ada beberapa kekangan dari segi pembangunan khususnya daripada syarikat pengeluar halal itu yang mahu mengembang luaskan (operasi) mereka di taman industri berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.