Seharusnya Tiada Alasan Dalam Usaha Pelajari Bahasa Kebangsaan – Syauqi Ibnihajar

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad menyeru kepada seluruh pimpinan dan rakyat Malaysia tidak kira apa pun fahaman politik atau parti supaya terus memartabatkan bahasa Kebangsaan.

Menurut beliau, masih banyak perbezaan ideologi dan jurang budaya di kalangan masyarakat tetapi dengan satu bahasa yang dituturkan oleh seluruh lapisan masyarakat boleh memupuk keharmonian masyarakat majmuk.

“Sedih melihat ramai ahli-ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negara kita yang masih tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan dengan baik. Langkah memupuk penguasaan bahasa kebangsaan sejak dari peringkat sekolah (termasuk di sekolah-sekolah jenis kebangsaan) adalah untuk kebaikan generasi masa depan.

“Masyarakat telah tertinggal dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan oleh seluruh rakyat selama ini (berbanding dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina), tetapi masih belum terlambat untuk berubah demi perpaduan dan kemakmuran generasi akan datang.

“Tidak salah sekiranya kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas tentang perkara ini dan yakin ramai rakan-rakan di dalam parti-parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan bersifat patriotik dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Syauqi berkata setelah lebih 60 tahun merdeka, sememangnya tidak dapat dinafikan masih ramai warganegara Malaysia yang lahir di negara ini belum boleh bertutur bahasa kebangsaan dengan baik.

“Jika tidak terlalu fasih mungkin masih boleh diterima, tetapi seluruh rakyat tanpa mengira kaum seharusnya boleh memahami dan bertutur bahasa kebangsaan dengan baik.

“Tatkala banyak laungan tentang kesamarataan kaum diutarakan mereka, malah sering juga mempertikaikan hak keistimewaan Bumiputera, tetapi dalam masa yang sama mencari seribu satu alasan untuk tidak berasimilasi penuh di dalam masyarakat majmuk Malaysia melalui penguasaan bahasa kebangsaan,” jelasnya.

Terdahulu, isu berkenaan turut menjadi ciapan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh di dalam hantaran Facebook beliau pada 4 Jun lalu.

Ia berkaitan bantahan daripada wakil-wakil lembaga serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 buah sekolah cina di Pulau Pinang berhubung cadangan pengajaran satu subjek dalam Bahasa Melayu menjadi perbincangan hangat ahli-ahli politik, pihak kementerian dan warga netizen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.