Bantahan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Penghantar Pembelajaran Di Pulau Pinang Tidak Seharusnya Berlaku – Norliza

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Tindakan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar amat dikesali.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkta tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan negara sedang memacu kestabilan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum agama dan bangsa.

Menurut beliau isu bantahan penggunaaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar adalah isu yang amat penting kerana ia berkaitan rapat dengan falsafah, polisi dan teras pendidikan negara.

“Walau apa pun bantahan yang dikemukakan, keputusan memastikan Bahasa Melayu kekal digunakan sebagai Bahasa pengantar perlu dipastikan tidak berubah.

“Perkara ini perlu difahami oleh segenap lapisan masyarakat dan ia bukan satu perkara kecil kerana keseragaman konteks pemikiran berhubung isu tersebut penting khususnya bagi semua guru kerana mereka adalah tunjang pendidikan negara.

“Para guru adalah amat penting dalam keseragaman pembangunan pemikiran dan ketamadunan serta peradaban generasi muda negara. Dan salah satu cara mencapai keseragaman tersebut adalah melalui penghargaan dan pengiktirafan Bahasa Melayu oleh semua generasi masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, tidak dinafikan pemahaman subjek berkesan adalah penting dalam pendidikan tetapi jangan jadikan ia sebagai alasan mudah untuk tidak bersama dalam usaha membentuk satu identiti negara kita yang seharusnya berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Anak – anak Malaysia di sekolah pada masa kini adalah warna identiti negara pada masa hadapan jadi perkara bantahan terhadap perlaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar jelas amat serius dan perlu ditangani dengan bijaksana oleh pihak berwajib.

“Perlaksanaan tersebut digesa harus dikekalkan walaupun terdapat bantahan dari guru dan ibu bapa berkaitan. Amat jelas juga semua guru harus mendukung falsafah pendidikan negara kerana mereka adalah sebahagian dari teras utama falsafah pendidikan negara.

“Tindakan membelakangi polisi pendidikan negara adalah satu sikap tidak profesional sebagai para guru dan pendidik utama anak – anak Malaysia. Ibu bapa pula harus mempunyai jiwa besar mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa utama negara iaitu Bahasa kebangsaan Malaysia seperti termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Negara. Didiklah generasi muda negara menghormati membudayakan serta mengiktiraf Bahasa Melayu dari bangku sekolah lagi,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.