Ulang Tahun BN Ke-50: Keluar Dari Zon Selesa, Lakukan Sesuatu Yang Bukan Biasa – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 6 Jun – 50 Tahun tertubuhnya Barisan Nasional (BN) menyaksikan sejarah yang panjang dan penuh liku dalam membangunkan Malaysia, kata Ketua Pemuda BN Selayang, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata terdapat tiga tonggak utama parti politik dalam BN iaitu UMNO, MCA dan MIC pada peringkat awal, disertai oleh Friends of BN yang kemudian menyaksikan sokongan pada tahap terendah akibat kekalahan pada pilihan raya lalu.

“50 tahun BN bukan satu masa yang singkat. Seharusnya kita ada ‘political will’ yang kuat untuk keluar dari zon selesa dan melakukan sesuatu yang bukan biasa kerana dengan melakukan perkara yang biasa tidak akan membuahkan hasil yang berbeza.

“Banyak yang ingin dikongsikan namun sukar untuk diluahkan… semoga BN yang kita sayangi mampu bangkit kembali dengan cara kita dan sesuatu perlu dilakukan. Ahli yang ramai serta akar umbi perlu digunakan semaksimum mungkin dengan kos yang minimum.

“Realitinya politik akar umbi serta khidmat bakti yang dijadikan teras dalam pembentukan BN semakin tenggelam akibat politik persepsi dan pembunuhan karektor yang semakin ganas dan tidak terkawal,” katanya kepada UMNO Online.

Shah Zanuriman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Selangor menjelaskan BN perlu melakukan anjakan paradigma agar diterima golongan muda sama ada dari segi pendekatan, struktur dan doktrinisasi perlu dilakukan secara pantas.

“Berikan ruang dan peluang kepada pelapis dengan kadar segera dalam memastikan golongan muda tidak ketinggalan dan hanyut dibandingkan dengan rakan kongsi yang lain terutama di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dari serendah-rendah jawatan di peringkat kampung hingga setinggi-tinggi jawatan yang ada perlu digunakan sebaik-baiknya oleh kepimpinan bagi melahirkan generasi dan memastikan anak muda serta golongan pelapis dilatih serta diberi peranan dalam mempersiapkan diri mengambil-alih tampuk pimpinan yang akan datang.

“Dalam meraih sokongan rakyat, BN perlu menukar konsep serta pendekatan walaupun pahit dan sukar. Jentera media sosial walaupun telah berkali-kali ditubuh dan diperkasakan namun masih lagi gagal menghasilkan keputusan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Untuk rekod, BN telah menyambut sambutan ulang tahun ke-50 pada 1 Jun lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.