‘Industri Halal Punyai Potensi Yang Besar Kepada Negara’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan industri halal mempunyai potensi yang besar kepada negara.

Katanya ini kerana pada tahun 2023 kadar sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) direkodkan pada kadar 7.9 peratus dengan jumlah eksport produk halal sebanyak RM53.72 billion, iaitu 3.8 peratus berbanding jumlah keseluruhan eksport negara yang berjumlah RM1.426 trillion.

“Memandangkan Pensijilan Halal Malaysia menyambut ulang tahun yang Ke-50 pada tahun ini, saya menyeru agar semua pihak perlu bergerak lebih pantas.

“Lebih-lebih lagi usia lima dekad ini pastinya telah membuatkan Pensijilan Halal Malaysia lebih matang setelah melalui pelbagai pencapaian memberangsangkan dan pengiktirafan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook selepas berkongsi kehadirannya ke Program Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, berkata pemilihan Johor sebagai tuan rumah penganjuran siri jelajah Program Halal On Track kali ini atas komitmen yang luar biasa dalam membangunkan potensi produk dan perkhidmatan halal termasuk menubuhkan Iskandar Halal Park.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata untuk melicinkan proses pengeluaran pensijilan halal kepada pemain industri, beliau telah mengarahkan agar MARA memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun bagi membantu menyediakan modul dan bimbingan kepada para usahawan agar permohonan pensijilan halal mereka dapat dipenuhi dalam tempoh waktu yang singkat.

“Saya berharap usaha yang dilakukan ini akan membawa kebaikan dan diteruskan oleh generasi akan datang agar Malaysia dapat mendominasi pasaran halal global yang berpotensi besar ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.