Kerajaan Negeri Pahang Akan Tubuh Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan sekretariat baharu yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk anak-anak peneroka FELDA iaitu Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah bersama 5,000 warga FELDA untuk meraikan Karnival Segalanya FELDA pada Isnin.

“Saya telah berada di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka untuk bersama-sama kira-kira 5,000 warga FELDA di Pahang dalam Karnival Segalanya FELDA. Meriah sungguh karnival ini dengan pelbagai program dan acara telah disusun.

“Ketika merasmikan karnival ini saya turut mengumumkan sebuah sekretariat baharu akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri khusus untuk anak-anak peneroka FELDA Pahang yang berada di perantauan iaitu Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang.

“Sekretariat ini fungsinya sama seperti Sekretariat Perantau Anak Pahang cuma ianya lebih berfokus kepada anak-anak peneroka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan karnival tersebut.

“Terima kasih kepada Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan pengurusan FELDA kerana mengadakan Karnival Segalanya FELDA di bumi Pahang.

“Terima kasih juga kepada Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, kerana memastikan karnival ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

“Semoga FELDA terus berupaya menjadi sebuah institusi yang unggul dalam memperjuangkan nasib warga FELDA. Insya-Allah. Pahang Prihatin, Rakyat Makmur,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.