Pelaburan Diluluskan: MIDA, DOSM Nilai Perkara Berbeza – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Jumlah pelaburan diluluskan yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Perangkaan (DOSM) adalah tidak sama kerana kedua-dua entiti ini menilai perkara berbeza.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia telah merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah dengan pelaburan langsung yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion atau 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022.

“Apa beza pelaburan diluluskan yang diumumkan MIDA dan net pelaburan langsung asing (FDI) yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan atau DOSM. Soalan ini berbangkit semula selepas perutusan negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyerlahkan kejayaan negara kita menarik pelaburan.

“Tahun lalu, Malaysia merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah dengan pelaburan langsung yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion atau 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022.

“Ada yang membandingkan jumlah ini dengan nilai net FDI yang diumumkan DOSM. Mengapa nilai kedua-duanya tak sama? Sebab kedua-duanya menilai perkara yang berbeza,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya.

Menurutnya, pelaburan langsung yang diluluskan meliputi sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah kuasa MIDA sahaja.

“Pelaburan langsung yang diluluskan mengukur cadangan pelaburan projek yang diluluskan meliputi sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah kuasa MIDA sahaja. Pelaburan langsung ini termasuk pelaburan domestik dan juga pelaburan asing. Pengiraan pelaburan merujuk pada jumlah kos projek seperti tanah, kilang, dan jentera.

“Bagi DOSM pula, net FDI mereka hanya kira aliran masuk dan keluar pelaburan asing. Mereka tak kira pelaburan domestik. Pengiraan untuk pelaburan asing mereka juga berbeza. Pengiraan pelaburan langsung asing DOSM adalah berdasarkan transaksi kewangan, termasuk pelaburan dalam ekuiti seperti saham, hutang, dividen, dan keuntungan yang dilabur semula.

“Contohnya, kalau ada syarikat asing beli saham dan take over syarikat tempatan, yang itu MIDA tak kira sebagai FDI sebab tidak ada projek baru. Tapi bagi DOSM, mereka kira sebagai FDI,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa mengeluarkan laporan mengenai pelaburan yang telah dilaksanakan ataupun siap.

“Pelaburan diluluskan MIDA dan net FDI DOSM memang ukur benda yang berbeza dan tak boleh nak banding macam itu saja. Habis itu, bagaimana nak tahu status pelaburan diluluskan yang diumumkan MIDA?

“Dari semasa ke semasa, kerajaan memang ada keluarkan laporan tentang pelaburan yang telah dilaksanakan atau telah siap. Contohnya, semasa perutusan negara baru-baru ini, Perdana Menteri, umumkan bahawa 75.5 peratus projek perkilangan yang diluluskan dari tahun 2021 hingga tahun 2023 telah siap atau sedang dalam pelaksanaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.