Tiada Konsep Apartheid Dalam Dasar Pendidikan, Tujuan Penubuhan UiTM Perlu Dipertahan – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Tiada dasar apartheid dalam dasar pendidikan negara termasuk di Universiti Teknologi MARA (UiTM) seperti yang dilabel pihak tertentu, kata Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman.

Menurut beliau, sebaliknya tujuan asal penubuhan UiTM perlu dihormati kerana ia bagi memperkasakan masyarakat bumiputera melalui pendidikan tinggi.

“Sebagai universiti yang telah melahirkan cendiakawan watan, UiTM telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi, khas untuk golongan bumiputera.

“UiTM berfungsi sebagai platform bagi memperkasakan masyarakat bumiputera melalui pendidikan tinggi, sejajar dengan matlamat asal penubuhannya. UiTM telah membantu membentuk dan membina generasi bumiputera sejak awal penubuhannya dan tidak pernah lari dari landasan asasnya.

“Ia diwujudkan dengan misi khusus untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial-ekonomi dalam masyarakat bumiputera dan misi ini masih relevan sehingga hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hisham yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi berkata jika dilihat mengenai kesaksamaan dan keadilan, seharusnya secara menyeluruh dan adil kepada semua institusi pendidikan yang ada di samping tidak melupakan asal usul dan tujuan penubuhan institusi ini.

“Baru-baru ini timbul isu apabila satu kursus perubatan yang berkehendakkan campuran pelajar luar bumiputera yang menjadi satu syarat akreditasi. Semestinya kita perlu membuka laluan demi melahirkan pakar perubatan tempatan yang sangat kritikal hari ini. Ibarat sambil menyelam minun air, kita bersama untuk lapangkan dada demi ilmu untuk anak bangsa.

“Memahami keperluan untuk memberikan peluang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia. Namun, terdapat banyak universiti awam dan swasta yang menawarkan peluang pendidikan tanpa sebarang sekatan kaum.

“Saya yakin pengurusan dan kepimpinan tertinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya UiTM cakna dengan kepentingan yang termaktub bagi kaum bumiputera,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu berharap agar tiada pihak yang cuba menggoncang perpaduan untuk menjadikan pendidikan sebagai modal politik dan merosakkan keharmonian yang telah dibina sejak merdeka.

“Setiap kaum faham peranan dan tanggungjawab masing-masing yang noktahnya termaktub dalam Perlembagaan. Bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung misi ini perlu dihormati dan dipertahankan.

“Perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini adalah hasil usaha bersama dan perlu dipelihara dengan baik. “Bagai aur dengan tebing”, kita harus saling sokong-menyokong dan tidak membiarkan isu-isu sebegini meruntuhkan semangat kebersamaan kita.

“Jika keruh air di hulu, keruhlah air di hilir… janganlah kita menimbulkan kekacauan yang boleh merosakkan keharmonian negara,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) yang terdiri terdiri daripada 20 naib canselor dan rektor UA menyifatkan penulis artikel yang disiarkan MalaysiaKini iaitu Our Apartheid Academy, UiTM sebagai jahil.

Pengerusi JKNCR, Prof Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, penulis berkenaan menampakkan kejahilan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tentang kedudukan serta hak bumiputera di Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.